Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • PTPTN umum dividen simpan SSPN 4.10 peratus bagi 2025, tertinggi dalam 11 tahun
  • PENDIDIKAN

PTPTN umum dividen simpan SSPN 4.10 peratus bagi 2025, tertinggi dalam 11 tahun

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGERUSI Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (kiri) bergambar bersama Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid selepas pengumuman Dividen Simpan SSPN 2025 di Menara PTPTN hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 4.10 peratus, angka tertinggi dalam tempoh 11 tahun.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata dividen Simpan SSPN 2025 yang melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta, memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit, menjadikan keseluruhan dividen kepada RM2.63 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.

Beliau berkata agihan dividen akan dimasukkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN, dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai esok.

Norliza berkata jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima tahun lepas berjumlah RM3.33 bilion, mencatatkan peningkatan 4.86 peratus atau RM154.10 juta, berbanding RM3.17 bilion pada 2024.

“Selain itu, lebih 500,000 pembukaan akaun baharu direkodkan pada 2025, menjadikan keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Dis lepas berjumlah RM23.88 bilion. Prestasi ini merupakan pencapaian dan kejayaan membanggakan, selain bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN yang terus kekal utuh.

“Peningkatan kadar dividen ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan secara efektif, berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum kepada pelanggan,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2025, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan rakan-rakan strategik.

Norliza berkata pemberian dividen pada kadar 4.10 peratus itu meningkat berbanding agihan dividen 4.05 peratus bagi 2024.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan dividen itu turut disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah jangka pendek dan panjang di pasaran wang dan sukuk tempatan yang memelihara prinsipal, di samping menawarkan pulangan kompetitif.

“Pemberian dividen Simpan SSPN pada kadar 4.10 peratus ini menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) ditetapkan Bank Negara, yang kekal pada kadar 2.75 peratus sepanjang 2025.

“Sememangnya, Simpan SSPN merupakan platform simpanan pendidikan yang selamat dan menguntungkan. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir atas sokongan berterusan beliau terhadap PTPTN, serta syabas kepada Ahli Lembaga Pengurusan dan pengurusan PTPTN,” katanya.

Norliza turut menekankan bahawa Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan menawarkan keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, selain perlindungan takaful percuma kepada pendeposit dan Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak.

Beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan memperluaskan Geran Sepadan SSPN Prime kepada keluarga berpendapatan RM4,000 hingga RM6,000 selama dua tahun melalui inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI), dengan geran sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga.

PTPTN turut menganjurkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 dengan hadiah hampir RM1.4 juta untuk 954 pemenang sepanjang tahun ini, katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: KPTMSB salur dividen RM19.97 juta kepada MARA Corp

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.