30 sekolah rendah Serian sertai Program Kesedaran Alam Sekitar 2026

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Kesedaran Alam Sekitar Sekolah Rendah Daerah Serian 2026 yang berlangsung selama dua hari, 10 hingga 11 November lalu. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu

SERIAN, 13 November: Sebanyak 30 sekolah rendah di Bahagian Serian bergabung tenaga membuktikan bahawa bahan buangan boleh diubah menjadi karya bernilai, menerusi  Program Kesedaran Alam Sekitar Sekolah Rendah Daerah Serian 2026 yang berlangsung selama dua hari, dari 10 hingga 11 November lalu.

Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya di Sarawak itu bertujuan memupuk kesedaran generasi muda tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata pengisian utama program ialah pameran dan pertandingan hasil kreativiti murid yang menghasilkan pelbagai produk serta bahan inovasi daripada bahan kitar semula.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program yang berlangsung di Balu Tayung Langui, Kampung Pichin.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja memdedahkan murid tentang kepentingan menjaga alam sekitar, malah menggalakkan mereka mengembangkan kreativiti dan inovasi melalui penggunaan semula bahan terpakai.

“Kesedaran terhadap amalan kitar semula perlu dipupuk sejak di bangku sekolah supaya ia menjadi sebahagian daripada budaya dan amalan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Program itu merupakan hasil kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Pejabat Pendidikan Bahagian Serian.

Dr Simon turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, guru serta murid yang menjayakan program tersebut.

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat melahirkan generasi muda yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan mencintai alam sekitar demi kelestarian bumi.

Oleh Adi Safarman