KUCHING, 13 November: Kerajaan Sarawak digesa memperluaskan dasar tanpa ikatan perkhidmatan yang diberikan kepada graduan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada penerima Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib (BYSTT).
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, langkah itu penting bagi memastikan semua graduan Sarawak mendapat layanan yang adil serta kebebasan untuk memilih peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Beliau menyambut baik pengesahan kerajaan sementara Sarawak bahawa graduan FTES bebas mencari pekerjaan di luar negeri ini tanpa perlu membayar balik kos pendidikan atau terikat dengan sebarang perjanjian perkhidmatan.
Menurutnya, dasar progresif itu membolehkan anak muda Sarawak memperoleh pengalaman, kemahiran dan rangkaian profesional yang lebih luas sebelum berpotensi kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.
Bagaimanapun, beliau berpandangan prinsip sama wajar diterapkan kepada penerima BYSTT yang kebanyakannya merupakan pelajar cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), iaitu bidang penting bagi pembangunan ekonomi masa depan Sarawak.
Katanya, ramai penerima biasiswa berkenaan masih terikat dengan perjanjian yang mewajibkan mereka berkhidmat di Sarawak selama beberapa tahun selepas tamat pengajian.
“Sebahagian daripada mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka bersedia berkhidmat di Sarawak, tetapi tidak dapat memperoleh pekerjaan yang sesuai di negeri ini.
“Mereka terikat untuk berkhidmat di Sarawak, namun tidak mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan tempatan. Pada masa sama, mereka tidak boleh menerima peluang pekerjaan di tempat lain tanpa berdepan risiko penalti atau tuntutan bayaran balik,” katanya.
Yii berkata, keadaan itu mewujudkan dua bentuk layanan berbeza terhadap graduan Sarawak apabila sebahagian diberikan kebebasan memilih tempat bekerja, manakala kumpulan lain, termasuk penerima biasiswa berdasarkan merit, masih tertakluk kepada sekatan tertentu.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Sarawak dan Yayasan Sarawak supaya memperluaskan dasar tanpa ikatan perkhidmatan kepada penerima BYSTT agar mereka menikmati kebebasan dan kepercayaan yang sama seperti graduan FTES.
Sekurang-kurangnya, katanya, penerima biasiswa yang benar-benar telah berusaha tetapi gagal memperoleh pekerjaan bersesuaian di Sarawak perlu diberikan kelonggaran melalui pelepasan atau penangguhan ikatan perkhidmatan.
Langkah itu, jelasnya, dapat mengelakkan mereka terus berada dalam ketidaktentuan mengenai masa depan kerjaya masing-masing.
Beliau turut menggesa supaya semakan sama dilaksanakan terhadap program biasiswa lain, termasuk Biasiswa Yayasan Sarawak Tunku Abdul Rahman (YBSTAR), bagi memastikan layanan yang konsisten dan adil kepada semua penerima biasiswa.
“Sarawak dapat mengekalkan bakat melalui penyediaan peluang yang mendorong mereka untuk terus tinggal atau kembali berkhidmat di negeri ini, bukannya dengan mengikat graduan apabila tiada peluang pekerjaan untuk mereka.
“Penerima biasiswa kita memperoleh peluang tersebut hasil usaha gigih mereka dan sewajarnya diberikan layanan adil serta kepercayaan yang sama,” katanya.
Oleh Connie Chieng





