PTPTN perinci mekanisme penangguhan bayaran balik, umum dalam masa terdekat

Facebook
WhatsApp

GEORGE TOWN, 27 Oktober: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam berpendapatan rendah seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata perincian mengenai kaedah pelaksanaan inisiatif itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500, pembayaran ansuran akan ditangguhkan, manakala kalau (pendapatan) RM2,500 hingga RM3,000, (bayar) RM50 sahaja. Pendapatan atas RM3,000 kena bayar seperti biasa.

“Secara terperinci, kita masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan akan mengumumkan kaedahnya secara lebih komprehensif dalam masa terdekat,” katanya pada Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026 di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lepas, mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.

Menteri Kewangan itu berkata peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50, selain peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur pula akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.

Dalam pada itu, Norliza berkata peminjam yang bekerja dan berkemampuan digalakkan untuk terus membuat bayaran balik secara konsisten, dengan mereka yang berbuat demikian layak menikmati diskaun 10 peratus seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Beliau turut menggalakkan peminjam yang mempunyai tunggakan supaya berunding dengan PTPTN bagi membuat penstrukturan semula bayaran bagi mengelakkan mereka daripada termasuk dalam golongan yang disenarai hitam PTPTN.- Bernama