PASUKAN PSKPP muncul juara dalam Kejohanan Badminton Piala Yang Berhormat Datu Dr Penguang anak Manggil sempena Karnival Sukan MAKSAK Daerah Marudi 2019.
Naib juara disandang Pasukan Medic sementara tempat ketiga dimenangi Pasukan Rando Mix manakala tiga pasukan lain yang menerima hadiah saguhati ialah Pasukan PDRM, KESURA dan Fedcom.
Kejohanan tersebut diadakan pada 5 dan 6 November tahun lepas (2019) dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan di bilik mesyuarat pejabat daerah Marudi oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang anak Manggil semalam.
Dalam amanat ringkasnya, Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.76 Marudi mengesa kakitangan kerajaan supaya meneruskan aktiviti sukan dimana bergiat aktif dalam sukan mampu menceriakan minda untuk menyihatkan tubuh badan.
“Saya akan memberi sokongan dalam apa jua aktiviti yang anda lakukan dimana dengan mengadakan aktiviti sukan dapat mengeratkan hubungan baik antara satu dengan lain. Saya juga berharap anda semua dapat menjalinkan kerjasama baik antara ketiga-ketiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baram untuk jangka panjang,” katanya.
Menurut beliau kerjasama sebagai satu pasukan perlu diwujudkan antara satu dengan lain terutama dalam mengatasi apabila berlaku bencana alam seperti banjir demi kepentingan rakyat di kawasan N.76 Marudi , N.77 Telang Usan dan N.78 Mulu.
Pada majlis tersebut Penguang meluluskan peruntukan MRP RM10,000 kepada MAKSAK Marudi yang disampaikan keada Pegawai daerah Marudi selaku Pengerusi MAKSAK Marudi Mackos Sibong.
Penguang berharap kerjasama semua pihak dengan Ketua-Ketua Masyarakat, agensi kerajaan dan rakyat perlu diteruskan supaya kita dapat hidup sebagai sebuah keluarga yang besar.
Oleh Jiku Juguong