KUCHING: Pusat mengundi di beberapa kawasan yang dilanda banjir di utara Sarawak, ditukar ke lokasi lain.
Ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata jumlah sebenar lokasi terbabit bagaimanapun masih belum diperoleh.
“Berdasarkan maklumat awal, Ketua Polis Daerah di lokasi terbabit banjir itu sudah berbincang dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di pusat mengundi untuk melaksanakan langkah yang perlu berikutan pusat diwartakan berkenaan dilanda banjir.
“Kami akan memaklumkan maklumat penuh berhubung perkara itu, petang nanti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, di sini, hari ini.
Beberapa kawasan di Bahagian Limbang, termasuk Mendamit, Sundar dan Trusan, serta Hulu Baram di Bahagian Miri, ditenggelami banjir sejak Selasa lalu.
Sementara itu, Mohd Azman berkata, hingga jam 10 pagi tadi, tiada berlaku sebarang kejadian yang menggugat keselamatan atau mengganggu proses pilihan raya di seluruh negeri ini.