KUALA LUMPUR: Proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings oleh kerajaan Sarawak dijangka selesai pada penghujung tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin bahawa Sarawak mempunyai syarikat penerbangan sendiri, tahun depan.
“InsyaAllah, kita akan memiliki syarikat penerbangan sendiri. Proses pengambilalihan MASwings dijangka selesai hujung tahun ini.
“Selepas itu, ini akan membolehkan kita beroperasi awal tahun depan supaya anak Sarawak dapat berulang-alik dari Semenanjung Malaysia ke negeri ini dengan kadar tambang yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada berucap majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak kali ke-15 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.
Turut hadir bagi menyerikan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Tambah Abang Johari, sektor pelancongan di Sarawak dijangka berkembang pesat apabila memiliki syarikat penerbangan sendiri nanti.
“Ini juga akan memudahkan pelancong untuk berkunjung ke Sarawak, sekaligus mempromosikan destinasi pelancongan di negeri ini.
“Kita boleh membawa pelancong ke dua Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sarawak iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak bekerjasama merangka masa depan Sarawak ke arah ekonomi baharu berasaskan kemajuan teknologi dan digital, bagi merealisasikan impian Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.