KUCHING: Kerajaan digesa mengkaji semula caj RM1,854 bagi setiap pekerja asing di bawah Sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) bagi memastikan kos pelaksanaannya tidak membebankan industri sehingga menjejaskan daya saing dan kelangsungan perniagaan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kayu-Kayan Sarawak (STA), Annie Ting, berkata sistem berkenaan bukan sahaja digunakan untuk mengurus permohonan pekerja bukan Sarawak, malah turut menyokong fungsi kerajaan termasuk pengurusan, pemantauan, perkongsian data dan penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya, data yang dijana melalui FWTA turut digunakan bagi tujuan perancangan dasar, pembangunan ekonomi, perancangan tenaga kerja serta proses membuat keputusan.
Sehubungan itu, STA berpandangan kos pembangunan teras dan operasi FWTA sewajarnya ditanggung sekurang-kurangnya sebahagiannya oleh kerajaan memandangkan sistem berkenaan turut memenuhi keperluan pengurusan sektor awam.
Annie berkata, berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, pada 20 Mei lalu, kerajaan telah melantik sebuah syarikat swasta untuk membangunkan dan mengendalikan FWTA.
Katanya, bayaran yang dikutip daripada majikan pula disalurkan kepada syarikat berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan kos, akauntabiliti serta asas penetapan caj RM1,854 itu.
Beliau berkata, pengurangan tempoh pemprosesan pekerja asing daripada 191 hari kepada kira-kira 60 hari merupakan perkembangan positif, namun sistem FWTA yang dilaksanakan sejak 2025 masih dalam proses penambahbaikan.
Menurutnya, industri masih berdepan cabaran, termasuk proses kelulusan antara agensi yang belum diselaraskan sepenuhnya, penglibatan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza serta isu operasi.
Justeru, STA berpandangan caj RM1,854 bagi setiap pekerja asing wajar dinilai semula selagi cabaran berkenaan belum diselesaikan sepenuhnya.
Annie menegaskan industri tidak menentang pelaksanaan FWTA, sebaliknya menyokong sistem yang cekap, telus dan dipermudah bagi mempercepatkan urusan pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, majikan tidak seharusnya menanggung sepenuhnya kos sistem yang diwajibkan kerajaan dan pada masa sama turut digunakan bagi melaksanakan fungsi penting kerajaan.
Beliau berkata, majikan juga sudah menanggung kos besar dalam proses pengambilan dan penggajian pekerja asing, manakala setiap kos tambahan berpotensi meningkatkan kos menjalankan perniagaan.
Keadaan itu berpotensi memberi kesan terhadap daya saing, pelaburan, peluang pekerjaan serta kelangsungan perniagaan di sepanjang rantaian bekalan.
Menurut Annie, dasar kerajaan seharusnya membantu memperkukuh daya saing industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak, bukannya meningkatkan beban kos sehingga menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Beliau turut berpandangan sistem FWTA perlu diperkemas dan tahap kecekapannya dibuktikan terlebih dahulu sebelum kos yang dikenakan kepada industri dapat diwajarkan.
STA kekal bersedia untuk bekerjasama dalam pelaksanaan FWTA, namun menegaskan kerjasama berkenaan perlu berasaskan prinsip keadilan, ketelusan, akauntabiliti serta nilai untuk wang.




