Malaysia manfaatkan MSC 2027, perkukuh tindakan ASEAN tangani isu jerebu – Arthur

Facebook
WhatsApp
MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memanfaatkan peranan sebagai pengerusi dan tuan rumah mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau (MSC) ke-28 tahun depan untuk memperkukuh kebersamaan dan kebertanggungjawaban negara ASEAN dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata platform itu penting bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha mencegah kejadian jerebu berulang.

“Pendekatan kita adalah jelas, isu jerebu rentas sempadan perlu diatasi melalui tindakan kolektif dan kerjasama serantau yang lebih erat, bukan sekadar menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak.

“Lebih penting adalah setiap negara anggota melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan bersama-sama memperkukuh langkah pencegahan, kesiapsiagaan serta tindakan awal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai inisiatif baharu yang akan dibawa Malaysia di peringkat ASEAN bagi memastikan masalah jerebu rentas sempadan dapat diatasi secara lebih berkesan dan berterusan.

Arthur berkata usaha itu termasuk meningkatkan perkongsian data dan maklumat, memperkukuh pelaksanaan undang-undang domestik serta meningkatkan kerjasama penguatkuasaan antara negara anggota ASEAN.

Beliau berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan komitmen berdasarkan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) diterjemahkan kepada tindakan nyata, konsisten dan berkesan di lapangan.

Katanya Malaysia juga telah membentangkan cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan pada mesyuarat MSC ke-27 mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Bali, Indonesia pada Julai lepas, dengan kedua-dua cadangan kini diteliti Sekretariat ASEAN.

“Diplomasi Sains bertujuan memperluas penggunaan data, teknologi dan bukti saintifik dalam pembangunan dasar serta proses membuat keputusan ASEAN berkaitan pencegahan, pemantauan dan pengurusan jerebu.

”Dana Jerebu Mampan pula bertujuan menyediakan sumber pembiayaan lebih mampan dan berterusan bagi usaha pencegahan kebakaran serta pengurusan jerebu serantau,” katanya.

Arthur berkata Malaysia akan meneruskan perbincangan mengenai kedua-dua cadangan itu pada Mesyuarat Ke-21 Committee (COM) dan Conference of the Parties (COP) to the AATHP yang dijadual berlangsung di Vietnam pada Disember ini.

Menjawab soalan asal Yusuf mengenai langkah menangani isu jerebu rentas sempadan khususnya di Sarawak serta tindakan diplomatik atau perundangan yang diambil, Arthur berkata pemantauan kualiti udara dan pengurusan jerebu di negeri itu telah dipertingkatkan termasuk menerusi Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 3 hingga 7 September.

Beliau berkata dari aspek diplomatik, rundingan secara langsung dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia diadakan menerusi panggilan telefon pada 24 Ogos bagi mempercepat usaha pemadaman kebakaran di kawasan terjejas, selain surat turut diutus kepada Sekretariat ASEAN.

Susulan itu, beliau berkata Malaysia mengemukakan tawaran bantuan rasmi kepada Indonesia pada 9 September merangkumi operasi pemadaman dari udara melalui water bombing, sokongan pesawat amfibi dan OPA.

Katanya kerajaan Indonesia bersetuju menerima tawaran bantuan Malaysia pada 18 September semasa pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Beliau berkata penyelarasan penghantaran bantuan sedang dilaksanakan kedua-dua negara melalui Kementerian Luar.- Bernama