
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Masterpiece Cycling Club Miri, Abu Bakar Jolhasan, kerana memilih Marudi sebagai tuan rumah untuk acara Marudi Classic 2025.
“Acara ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan teratur tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, dan saya amat bersyukur atas kerjasama semua pihak,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perasmian Marudi Classic 2025.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang turut membantu dalam mempromosikan Marudi sebagai destinasi pelancongan, terutamanya bagi mereka yang berminat dalam sukan dan aktiviti luar.
Kataya, kawasan Poyut – Lubok Nibong Marudi merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk acara berbasikal.
“Rata-rata peserta yang saya temui mengatakan ini adalah kali pertama mereka datang ke Marudi. Mereka turut mencadangkan supaya Marudi Classic diadakan serentak dengan Pesta Durian tahun depan,” tambahnya.

Gerawat juga menyatakan peserta amat terkesan dengan keunikan Marudi, serta kemesraan penduduk yang hidup aman damai.
Memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk tempatan, Gerawat berkata bahawa penganjur sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan Siri Kedua Marudi Classic pada tahun depan.
“Saya berharap agar para peserta dapat menikmati keenakan kuetiau Marudi, mi sup udang galah dan mi sup ikan tapah antara hidangan popular di Marudi,” ujar Gerawat.
Beliau turut berharap agar pembinaan jalan baharu dari Miri ke Marudi dan Marudi ke Long Panai dapat dilaksanakan segera untuk memudahkan lebih ramai pelancong luar datang ke Marudi.
“Dengan siapnya jalan baharu ini, saya yakin banyak lagi acara seperti Maraton, perlumbaan basikal, futsal dan acara sukan lain dapat dianjurkan, sekali gus memperkenalkan gaya hidup sihat kepada penduduk Marudi, tetapi juga memajukan ekonomi setempat,” katanya.
Marudi Classic 2025 dianjurkan oleh Masterpiece Cycling Club Miri sebagai penganjur utama, melibatkan 70 peserta daripada 24 pasukan dan individu.
Perlumbaan bermula di Dataran Marudi dengan jarak kayuhan sejauh 60 kilometer, yang mana peserta pertama menamatkan kayuhan dalam masa 1 jam 32 minit.
Bagi kategori Lelaki Master, juara dimenangi oleh Mohd Razif Mohd Salleh dari Pasukan Tugau Cycling Club, manakala naib juara disandang oleh Reduan Yusof dari Pasukan ABCT. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Abu Bakar Abdul Wahab yang mewakili Pasukan ABCT.
Bagi kategori Lelaki Veteran, Seril Badiyey dari Pasukan SL Cycling Club muncul sebagai juara. Tempat kedua disandang oleh Liew Yee Mee dari Masterpiece Cycling Club, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Robert Meek, peserta individu.
Kategori Lelaki Terbuka, Mohd Nor Umardi dari Pasukan Tugau Vaie Cycling Club berjaya meraih gelaran juara. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Amiruddin Haji Mohd Amir dari Pasukan ABCT dan Iskandar Damaimi dari Pasukan Masterpiece Cycling Club.
Semua pemenang dari setiap kategori menerima hadiah wang tunai dan trofi. Juara menerima RM500 dan trofi, naib juara RM400 dan trofi, serta tempat ketiga RM300 dan trofi.
Selain itu, peserta yang berjaya menduduki tempat keempat hingga keenam menerima hadiah RM100 dan trofi sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka dalam acara ini.
Oleh Jiku Juguong