Ular muncul di tempat letak kereta, bomba segera bertindak

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menangkap seekor ular menggunakan penjerut dan penyepit ular dalam operasi di sebuah rumah di Lorong Rentap, Jalan Tiong Soon Height, Sarikei. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Kehadiran seekor ular di kawasan tempat letak kereta sebuah rumah di Lorong Rentap, Jalan Tiong Soon Height, mencetuskan kebimbangan sebelum reptilia tersebut berjaya ditangkap anggota bomba, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 6.34 pagi.

“Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Redzuan Hussain bersama dua anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, pelapor memaklumkan bahawa ular berada di tempat letak kereta,” katanya ketika dihubungi media.

Beliau berkata pemeriksaan dan penilaian awal dilakukan bagi memastikan reptilia tersebut dapat ditangkap dengan selamat tanpa mendatangkan risiko kepada penghuni dan anggota bomba yang menjalankan operasi.

“Komander operasi membuat penilaian awal dan mengarahkan anggota bomba untuk menangkap ular tersebut menggunakan penjerut dan penyepit ular sehingga berjaya,” katanya.

Tindakan pantas pasukan bomba membolehkan keadaan dikawal pada 6.48 pagi, kira-kira lapan minit selepas operasi dimulakan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.50 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.

“Ular tersebut kemudiannya dibawa dan dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya.

Oleh Earl Anek