LAWAS: Peruntukan RM1. 5 billion oleh kerajaan Sarawak bakal mengubah wajah kawasan utara negeri ini apabila projek utama siap nanti.
Antaranya pembinaan lapangan terbang baru Lawas yang lebih besar, lebuh raya pesisir utara, pelabuhan laut dalam Lawas, jambatan Batang Lawas dan jambatan Batang Trusan akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Wilayah serta Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni berkata projek itu dikendalikan di bawah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA).
“Pembinaan lebuh raya pesisir utara akan bercantum dengan jajaran Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) di Kampung Gelugus Lawas.
“Ini akan menghubungkan terus Lawas dengan Kalimantan dan ibu negara baru Indonesia di Nusantara.
“Malah pembinaan pelabuhan laut dalam juga merupakan projek mega yang akan melonjakkan ekonomi Daerah Lawas sebagai pusat perdagangan penting di Utara Sarawak.
“Sesebuah penempatan yang memiliki pelabuhan akan membuka lebih peluang untuk perdagangan di peringkat global.
“Jadi saya juga mahu kakitangan kerajaan di Lawas untuk tahu semua projek pembangunan yang berlaku di Lawas bagi memudahkan segala perancangan kepimpinan Sarawak berjalan lancar, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama pemegang taruh Program Santuni Madani di Kampung Tengah Trusan hari ini.
Ismawi berkata sebanyak 159 projek pembangunan melibatkan pelbagai projek rakyat telah dilaksanakan di kawasan utara negeri ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Latip; wakil Pegawai Residen Bahagian Limbang, wakil Pegawai Daerah, ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum di Trusan.
Oleh ADENG EDRUS