KUCHING: Projek Kawasan Hutan Baram Atas (UBFA) PD 902/19 Rev.3 (F) dihentikan disebabkan oleh cabaran dan gangguan berterusan, bukan kerana tekanan untuk bersikap telus seperti didakwa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kata Datu Hamden Mohammad.
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak itu menzahirkan kebimbangan yang serius berhubung kebimbangan terhadap maklumat mengelirukan dan naratif berat sebelah yang disebarkan oleh NGO seperti Save Rivers, BMF dan Projek Borneo berhubung penamatan projek berkenaan.
Projek itu juga mendapat sokongan dari Basel City, BMF dan Kerajaan Jepun melalui Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO).
”Jabatan Hutan Sarawak telah bekerjasama dengan ITTO dalam sekurang-kurangnya 16 projek sejak 1990-an, berjumlah lebih daripada AS$16 juta.
”Bagaimanapun, kami tidak pernah mengalami cabaran dan gangguan daripada penderma untuk semua projek tersebut sebelum ini kecuali sekarang.
”BMF memanipulasi sumbangan dana mereka kepada projek UBFA untuk mengganggu kedaulatan Sarawak. Mereka tahu mengapa kami menamatkan projek itu tetapi menyalahkan Jabatan Hutan kerana ’menenggelamkan’ projek UBFA,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Hamden memaklumkan meskipun projek itu telah ditamatkan, Jabatan Hutan Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan ITTO menerusi dua projek baharu yang akan dilaksanakan pada 2025.
Katanya, projek-projek tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan mata pencarian mampan.
”Kita memberi jaminan kepada masyarakat tempatan di UBFA bahawa Jabatan Hutan Sarawak kekal komited untuk memastikan kebajikan masyarakat setempat dan akan mencari sumber pembiayaan alternatif untuk projek masa depan, bebas daripada campur tangan NGO.
”Keputusan ini dibuat berikutan perbincangan meluas dengan ITTO bagi menghentikan tindakan NGO yang memanipulasi projek UBFA, mendesak agenda bagi kepentingan mereka tanpa memikirkan keperluan majoriti masyarakat tempatan di UBFA,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh BMF dan Save Rivers baru-baru ini yang mendakwa terdapat kekurangan ketelusan dalam keputusan kerajaan Sarawak untuk menarik balik projek itu, yang melibatkan pengurusan 285,000 hektar hutan dan tanah pertanian di wilayah UBFA.
Menerusi kenyataan itu, Pengarah BMF, Lukas Straumann mengkritik keputusan JHS dan ITTO kerana gagal bertindak dengan kebebasan yang mencukupi daripada agensi pelaksananya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA