MALUDAM: Projek tebatan banjir Maludam dijangka akan bermula suku keempat pada 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata projek tebatan banjir tersebut bernilai RM40 juta itu telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Masalah hakisan dan banjir yang dihadapi di daerah kecil Maludam di sini, bakal diatasi setelah projek tebatan banjir yang bernilai RM40 juta akan bermula suku keempat pada tahun 2025.
“Projek ini memakan masa yang lama untuk disiapkan, namun infrastruktur yang diberi keutamaan disebabkan kawasan Maludam mengalami banjir hingga merosakkan tanaman dan kediaman penduduk setempat saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis sambutan Pra-Krismas bertempat di Rumah Kunjang, Kampung Sungai Daun Maludam semalam.
Dayang Noorazah berkata selain itu projek menaik taraf sistem saliran di Maludam melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM130,000 telah diluluskan.
“Kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Sarawak, khususnya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan beberapa projek berimpak tinggi untuk rakyat di kawasan ini.
“Kita berbesar hati kerana Sarawak mempunyai seorang pemimpin yang sentiasa berfikir untuk rakyat dan sering menghulurkan dana berterusan untuk membangunkan Sarawak termasuk di DUN Lingga khasnya.
“Ini menunjukkan Premier Sarawak sangat menyayangi rakyat dan kita semua harus menyokong perjuangan beliau,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua PBB Cawangan Lingga, Suhaidi@Roslan Los; Naib Ketua I (Pesaka) PBB Cawangan Lingga, Tuai Rumah Jemmy Ngindang; Ketua Pemuda PBB Cawangan Lingga, Abdul Rahim Jamil dan Ketua Penerangan PBB Cawangan Lingga, Zakaria Othman.
Oleh Adi Saparman