
SIBU: Projek pembuatan pelbagai mi anjuran Sustainable Development Goals (SDG) Parlimen P.207 Igan membuka peluang keusahawanan serta membantu menjana pendapatan isi rumah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, program tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran masyarakat, malah menjadi platform menambahkan pendapatan isi rumah.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) dalam mewujudkan pekerjaan yang baik, memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berharap lebih ramai penduduk akan memanfaatkan peluang seumpama ini untuk meneroka bidang perniagaan makanan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
Terdahulu, Ahmad Johnie melawat projek pembuatan pelbagai mi (mi kuning, mi kolok dan mi pok) anjuran SDG Parlimen P.207 Igan yang berlangsung di Dewan Terbuka Surau Darul Makmur, Itol, Daro.
Seramai 10 peserta telah menyertai projek tersebut yang bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran dalam penghasilan produk makanan berasaskan mee sebagai salah satu peluang menjana pendapatan.
Bagi membantu peserta memulakan usaha mereka, setiap peserta turut menerima set peralatan pembuatan mi selepas mengikuti projek berkenaan.
Oleh Akun Giman