PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat pameran pada majlis perasmian sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Penyelidikan Hutan Industri (IFRC) di Jalan Puncak Borneo, semalam. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Di sebalik tindakan Kerajaan Persekutuan mahu menangguhkan pelaksanaan projek mega, Sarawak pula tidak berganjak untuk meneruskannya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata semua projek mega yang dibiayai Kerajaan Sarawak sendiri akan diteruskan seperti biasa tahun ini.
Ini katanya, kerana kerajaan Sarawak mempunyai dana bagi tujuan itu.
“Saya tidak pasti berapa banyak projek mega di negeri ini yang dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.
“Tetapi, saya memberi jaminan bahawa projek mega yang dibayai oleh Kerajaan Sarawak akan tetap diteruskan seperti biasa tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Penyelidikan Hutan Industri (IFRC) di Jalan Puncak Borneo, semalam.
Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan mempertimbang untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega bagi mengimbangi perbelanjaan berkaitan subsidi yang dianggarkan mencecah RM77.3 bilion tahun ini.
Ia antara langkah yang boleh dikaji dan dipertimbangkan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh memandangkan wujud keperluan untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan pemberian subsidi.
Abang Johari tidak menyebut atau menyenaraikan projek mega yang sedang dilaksanakan di negeri ini atas pembiayaan kerajaan Sarawak sendiri.
Difaham, antara projek mega yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan jambatan dengan kos RM5 bilion.
Pembinaan tujuh jambatan terbabit sudah bermula, iaitu Jambatan Paloh dan Batang Lassa di Daro (kedua-duanya siap awal sebelum 2025 iaitu tahun depan), Jambatan Sungai Krian di Saratok, Jambatan Saribas di Pusa, Jambatan Kemena di Bintulu, dan Jambatan Rambungan di Lundu.
Projek jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta pula dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Sebelum ini, Sarawak sudah menerima RM8.52 bilion melalui kutipan hasil Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas sejak 1 Januari 2019.
Oleh NUR AIN OTSMAN