KUCHING: Projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu bakal dilengkapi dengan teknologi terkini yang mampu menampung kapasiti sehingga 15 juta penumpang setahun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini merupakan pelan jangka panjang yang akan memberikan pengalaman perjalanan lebih lancar.
“Lapangan terbang baharu ini akan (lebih) besar, dengan infrastruktur yang lancar. Penumpang hanya perlu melakukan satu kali proses daftar masuk dan semua urusan lain akan selesai secara digital,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak (SHTA) ke-9 di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, walaupun kos pembinaan projek tersebut mungkin tinggi, tetapi kerajaan Sarawak akan memastikan ia menjadi pelaburan yang berbaloi.
Beliau turut membandingkan perkembangan Sarawak dengan Dubai yang telah berubah drastik dalam tempoh 25 hingga 30 tahun lalu.
“Dahulu, Dubai hanyalah padang pasir, namun dengan kebijaksanaan mereka menubuhkan syarikat penerbangan Emirates dan menarik pelancong, Dubai telah menjadi hab antarabangsa yang maju.
“Kita di Sarawak mempunyai kelebihan dengan kekayaan alam semula jadi, masyarakat yang bersatu padu dan kemampuan pelbagai bahasa. Jika Dubai boleh, saya yakin Sarawak juga mampu melakukannya,”katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan Anugerah ‘Special Award for Lifetime Achievement’ kepada Datu Aloysius J. Dris.
Beliau diiktiraf atas sumbangan besarnya kepada industri pelancongan Sarawak yang memainkan peranan penting dalam menubuhkan Sarawak Tourism Board dan acara ikonik Sarawak, iaitu Festival Hutan Hujan Sedunia.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu. – EDISI UKAS