SARIKEI: Projek Rakyat Jalan Pesisir yang menghubungkan Jalan Pasi, Sarikei ke Tanjung Manis, Mukah sepanjang 17 kilometer (km) termasuk Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2 km dijangka siap sepenuhnya pada 20 Julai 2023.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan (PKPD) akibat penularan pandemik Covid-19 menyebabkan pembinaan projek ini tertangguh sedikit.
“Sebelum ini, ia dijangka siap sepenuhnya pada 21 Mac 2023. Tetapi oleh kerana PKP, PKPP dan PKPD, tempoh sasaran tarikh siap projek telah dilanjut kepada 20 Julai 2023.
“Apabila siap, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 45 minit berbanding sekitar dua jam dari Sarikei ke Tanjung Manis pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek, pagi kelmarin.
Katanya, beliau turut berpeluang mendengar sendiri taklimat berhubung status terkini projek ini dari Pengurus OPUS Consultants (M) Sdn Bhd, Mohd Hishamudin Adzhari, berhubung perkembangan terkini projek.
Terdahulu, Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Jalan Pesisir Dari Jalan Pasi, Sarikei Ke Tanjung Manis, Mukah/Jambatan Batang Rajang, Sarikei Bersama Rakyat telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 06 April 2019.
“Projek ini bernilai RM321 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Pembangunan infrastruktur seperti jalan pesisir dan jambatan, menara telekomunikasi, bekalan air dan tenaga elektrik diluar bandar merupakan polisi dan usaha Kerajaan GPS pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mentransformasikan kawasan luar bandar di Sarawak,” ujar Len.
Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang berkata, atas keprihatinan Kerajaan GPS, Ketua Menteri telah mengambil keputusan untuk mengambil alih dan membiayai sepenuhnya beberapa projek yang terlibat seperti pembangunan Jalan Pesisir, Projek Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road), Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Kemena yang akan dibina menggunakan sumber kewangan Sarawak.
“Kesemua projek ini berjalan serentak dan dalam masa yang sama, projek Pan Borneo dibiayai Kerajaan Pusat juga dilaksana mengikut jadual,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK