ADAM AI jadi rakan digital pertama Perkhidmatan Awam Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ADAM AI.

KUCHING: ADAM AI muncul sebagai pembantu kecerdasan buatan (AI) pertama yang dibangunkan secara dalaman oleh kerajaan Sarawak, sekali gus menjadi rakan digital pertama Perkhidmatan Awam Sarawak dalam mempercepat transformasi digital sektor awam.

Dibangunkan di bawah seliaan Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), ADAM AI merupakan antara inisiatif digital terbaharu kerajaan negeri yang beroperasi sepenuhnya menggunakan infrastruktur kerajaan Sarawak serta dikhususkan untuk kegunaan penjawat awam negeri.

Dilancarkan secara rasmi pada 7 Julai lalu, avatar ADAM AI yang berpakaian sut kelabu dan bertali leher melambangkan profesionalisme, kredibiliti dan nilai perkhidmatan Perkhidmatan Awam Sarawak, selain menampilkan imej mesra sebagai rakan digital kepada penjawat awam.

 NUR Shazreena Ali menunjukkan penggunaan ADAM AI, rakan digital pertama Perkhidmatan Awam Sarawak. Foto UKAS.

Setiausaha Akhbar kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Nur Shazreena Ali berkata, beliau menggunakan ADAM AI dalam tugasan harian seperti menyediakan teks ucapan, mencari dokumen, membuat semakan dasar, mengesahkan fakta serta pelbagai urusan lain.

Menurut beliau, kelebihan utama ADAM AI bukan sekadar keupayaannya mendapatkan maklumat dengan pantas, tetapi memperoleh maklumat daripada dokumen rasmi kerajaan yang telah diluluskan.

“ADAM AI mampu menghubungkan maklumat daripada pelbagai sumber rasmi dan akan memaklumkan secara jelas sekiranya sesuatu maklumat tidak terdapat dalam pangkalan datanya.

“Ia tidak membuat andaian untuk melengkapkan maklumat yang tiada, sebaliknya menjelaskan had pengetahuan yang dimiliki berdasarkan dokumen yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, pangkalan pengetahuan ADAM AI terus diperkukuh menerusi dokumen rasmi kerajaan seperti dasar, pekeliling, garis panduan dan bahan rujukan lain yang sentiasa dikemas kini.

 NUR Shazreena Ali menunjukkan penggunaan ADAM AI, rakan digital pertama Perkhidmatan Awam Sarawak. Foto UKAS.

Berbeza dengan aplikasi AI yang bergantung kepada data terbuka di internet, ADAM AI menggunakan teknologi Penjanaan Dipertingkatkan dengan Capaian Maklumat (Retrieval-Augmented Generation – RAG) yang membolehkan maklumat berkaitan diperoleh daripada sumber kerajaan yang sah sebelum sesuatu jawapan dijana.

Nur Shazreena berkata, penggunaan ADAM AI turut memperkenalkan konsep 3R, iaitu Revisit (menilai semula), Rethink (memikir semula) dan Recharge (memperbaharui komitmen), khususnya dalam pengurusan maklumat kerajaan.

Beliau berkata, pengalaman mencari sejarah Wisma Bapa Malaysia melalui ADAM AI menunjukkan banyak maklumat penting sebenarnya telah wujud dalam rekod arkib, laporan media, dokumentari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta pelbagai dokumen kerajaan, namun belum disusun secara sistematik dalam repositori digital yang boleh dicapai AI.