Sarawak sasar eksport air sebagai komoditi baharu selepas capai liputan bekalan 100 peratus

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ABANG Johari bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) hari ini.

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk menjadikan air sebagai komoditi eksport baharu selepas mencapai liputan bekalan air 100 peratus di seluruh negeri menjelang 2030, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan seluruh rakyat Sarawak menikmati bekalan air bersih sebelum melaksanakan rancangan mengeksport air terawat ke negara-negara yang memerlukan sumber berkenaan.

“Keutamaan kita ialah membekalkan air kepada seluruh rakyat Sarawak terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kita melaksanakan langkah seterusnya seperti yang telah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai kelebihan kerana dikurniakan rangkaian sungai yang luas serta sumber air yang melimpah. Justeru, teknologi rawatan air moden boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan air terawat bagi tujuan eksport.

Katanya, teknologi penulenan air yang dipamerkan pada BIWWEC membuktikan air sungai boleh dirawat menjadi sumber air berkualiti tinggi untuk kegunaan domestik dan industri.

“Jika air sungai dapat dirawat menggunakan teknologi sedia ada, kita boleh mengeksportnya ke negara-negara yang memerlukan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pembinaan loji rawatan air khusus di beberapa sungai bagi menghasilkan bekalan air untuk pasaran eksport.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan negara yang menjadi sasaran kerana rundingan masih berlangsung.

“Saya tidak boleh mendedahkan perkara itu buat masa ini kerana rundingan masih berjalan. Namun, memang ada usaha untuk menjadikan air sebagai satu lagi komoditi eksport Sarawak. Ini merupakan sesuatu yang baharu di rantau ini,” katanya.

Abang Johari berkata, pelaksanaan Grid Air Sarawak akan menjadi pemangkin kepada perancangan tersebut dengan sasaran mencapai liputan bekalan air 100 peratus menjelang 2030, termasuk di kawasan pedalaman menerusi Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan lebih RM1 bilion bagi menggantikan paip air usang di seluruh Sarawak untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) akibat kebocoran, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem bekalan air.

Beliau berkata, pembangunan sektor air di Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan bekalan air, malah turut merangkumi penerapan teknologi moden, penghasilan hidrogen serta pembangunan produk hiliran berasaskan air sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh ekonomi masa depan negeri.

Oleh Afiq Sallehi