CCUS: Sarawak gesa kerangka kawal selia karbon rentas sempadan diwujudkan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 ABANG Johari ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

KUCHING: Sarawak mengemukakan keperluan mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi membolehkan penghantaran karbon rentas sempadan, susulan peningkatan minat syarikat antarabangsa untuk menyimpan karbon di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dibangkitkan beliau semasa lawatan kerja rasmi ke Kuala Lumpur pada pagi tadi, yang melibatkan Mesyuarat Tenaga Negara.

Beliau berkata, Sarawak telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat termasuk dari Jepun dan Singapura yang berminat untuk menyimpan karbon di kawasan perairan Sarawak menerusi teknologi Tangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

“Antara perkara penting yang saya bangkitkan ialah penghantaran karbon merentasi sempadan. Kita menerima permohonan daripada beberapa syarikat untuk menyimpan karbon di Sarawak.

“Sebagai contoh, syarikat dari Jepun seperti Sumitomo mahu menyimpan karbonnya di perairan Sarawak, tetapi belum ada rangka kerja kawal selia mengenai bagaimana karbon itu boleh dibawa masuk ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

 ABANG Johari ketika menghadiri majlis perasmian Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai perundangan sendiri berkaitan CCUS, namun kerjasama dan penyelarasan bersama Kerajaan Persekutuan diperlukan bagi memastikan pelaksanaan industri berkenaan dapat berjalan lancar.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai potensi besar sebagai lokasi penyimpanan karbon berikutan kawasan simpanan karbon yang luas, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan ekonomi baharu.

“Ini merupakan ekonomi baharu. Kita menerima banyak permohonan untuk penyimpanan karbon kerana Sarawak mempunyai kawasan yang besar dari segi kapasiti penyimpanan karbon,” katanya.

Langkah itu selari dengan usaha Sarawak memperkukuh peranan dalam ekonomi rendah karbon, selain memanfaatkan kelebihan sumber semula jadi dan kapasiti penyimpanan karbon yang dimiliki negeri ini bagi menarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga bersih.

Oleh Afiq Sallehi