
BETONG: Sebanyak empat projek naik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM1.6 juta di kawasan Parlimen Betong dijangka akan memasuki proses tender selewat-lewatnya hujung April depan.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata peruntukan tersebut adalah daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana .
“Jadi di bawah LKTS, peruntukan KKDW ada empat projek berjumlah RM1.6 juta untuk kawasan Parlimen Betong.
“Ada juga yang diluluskan di bawah agensi lain, tetapi untuk hari ini kita hanya fokus kepada projek yang dilaksanakan di bawah LKTS bagi Rumah Pelepok, Padeh, iaitu projek menyelenggara dan baik pulih jalan akses kepada rumah panjang bernilai RM500,000,” katanya selepas sesi lawatan tapak bagi projek naik taraf JPD Rumah Mani Unjie di Pelepok Padeh, pagi tadi.
Dalam masa sama, beliau juga berterima kasih kepada KKDW kerana telah meluluskan peruntukan bagi tujuan pelaksanaan projek JPD di sini.
Katanya, peruntukan tersebut amat bermakna terutamanya dalam memudahkan pergerakan keluar masuk selain bakal merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk di kawasan terbabit dalam Parlimen Betong selepas ini.
Jelasnya, beliau juga akan terus berusaha selain berkerja rapat dengan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Betong bagi memastikan setiap penduduknya mendapat kemudahan infrastruktur lebih baik.
Selain Rumah Mani Unjie di Pelepok Padeh, tiga rumah panjang yang turut dimanfaatkan oleh projek sama ialah Rumah Tebalau di Ulu Layar yang menelan kos sebanyak RM500,000, Rumah Luing, Spak Betong (RM400,000) dan Rumah Isa Laman di Babu Kara, Debak (RM200,000).
Oleh Adi Safarman