Khidmat khas bomba tamat ancaman tebuan di Jalan Seroja

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memusnahkan sarang tebuan pada malam tadi. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Kehadiran sarang tebuan di kawasan kebun hadapan sebuah rumah di Lorong 3, Jalan Seroja mengundang risiko kepada penghuni sebelum ia dimusnahkan sepenuhnya oleh pasukan bomba semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.36 malam.

“Tiga anggota bomba yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Tamizi bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Sampai di lokasi, didapati sarang serangga berbisa jenis tebuan berada dalam kawasan kebun di hadapan rumah tersebut” katanya ketika dihubungi.

SARANG tebuan telah dimusnahkan oleh pasukan bomba. Foto BBP Sarikei

Katanya, pasukan bomba terlebih dahulu melakukan penilaian terhadap keadaan di lokasi sebelum mengambil tindakan bagi memastikan sarang tebuan dapat dimusnahkan dengan selamat.

“Setelah membuat penilaian awal, pasukan bomba bertindak memusnahkan sarang tebuan dengan membakar sarang tersebut sehingga musnah sepenuhnya.

“Selepas memastikan sarang tersebut musnah sepenuhnya, operasi ditamatkan pada 9.04 malam.” katanya.

Oleh Earl Anek