KUCHING: Projek jalan baharu Matang yang sebelum ini dikategori ‘projek sakit’ sepanjang 4.4 kilometer dari Matang Jaya ke Jalan Matang dan Jalan Batu Kawa-Matang menunjukkan kemajuan positif
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata buat masa ini projek tersebut mencapai nilai kemajuan fizikal sebanyak 13 peratus daripada jadual asal yang sebelum ini terdapat sedikit kelewatan.
“Kemajuan fizikal sebanyak 13 peratus tersebut adalah perkhabaran baik yang kita terima setakat ini,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan rasmi ke tapak projek naik taraf jalan baharu Matang fasa 2 di sini hari ini.
Uggah berkata projek naik taraf jalan tersebut menelan kos RM54.59 Juta dari Matang Jaya ke simpang Jalan Batu Kawa-Matang yang telah ditender semula susulan kegagalan kontraktor asal untuk meneruskan kerja.
Katanya, bagi kerja-kerja untuk mengalihkan utiliti sedia ada di situ pula menelan kos RM20 juta.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak kontraktor berdepan cabaran kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan utiliti dan kepadatan penduduk.
Justeru, beliau menegaskan pihak kontraktor untuk menyiapkan projek naik taraf jalan Matang baharu secepat yang mungkin
Uggah juga mahu pihak kontraktor peka dan sentiasa meningkatkan prestasi kerja-kerja menaik taraf projek jalan di situ.
Bagaimanapun katanya, sebahagian Jalan Matang Baru Fasa 2 dijangka boleh digunakan oleh penduduk sekitar bermula bulan depan.
Jelasnya, pembukaan sebahagian jalan baru itu adalah untuk memberi laluan kepada pihak kontraktor menaik taraf jalan sedia ada.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Dato Fazzarudin Abdul Rahman berkata sebahagian Jalan Matang baharu itu melibatkan sepanjang dua kilometer dijangkap siap dan boleh digunakan.
Katanya, penggunaan sebahagian jalan baru itu akan memberi ruang untuk kerja-kerja menaik taraf jalan lama di laluan bersebelahan agar permukaan jalan di situ pada tahap yang sama.
Beliau berkata baki 2.4km itu bakal dinaik taraf setelah kerja-kerja menaik taraf di kedua-dua jalan 2km itu siap.
Bagaimanapun, Fazzarudin mengambil maklum akan masalah kesesakan jalan raya di kawasan terbabit.
“Jalan ini amatlah sesak dan sering digunakan oleh lebih 10,000 orang. Saya berharap kerja-kerja menaik taraf Jalan Matang baharu ini dapat disiapkan sepenuhnya dengan kadar segera,” katanya.
Oleh Noor Ikmal