23 anggota SFC sertai latihan pengendalian ular

Facebook
WhatsApp
PESERTA menjalani latihan pengendalian ular termasuk spesies berbisa dalam Latihan Pengendalian Ular 2026 di Pusat Hidupan Liar Matang. Foto SFC

KUCHING: Seramai 23 peserta daripada pelbagai bahagian dan seksyen Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) menyertai Latihan Pengendalian Ular 2026 bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman dalam mengendalikan ular, termasuk spesies berbisa.

Latihan yang berlangsung dari 29 September hingga 2 Oktober di Pusat Hidupan Liar Matang itu dikendalikan lima jurulatih berpengalaman daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

SERAMAI 23 peserta selesai menjalani Latihan Pengendalian Ular 2026 bersama jurulatih PERHILITAN di Pusat Hidupan Liar Matang. Foto SFC

Menurut kenyataan SFC, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan peserta dalam menangani isu berkaitan hidupan liar secara selamat, berkesan dan profesional.

Latihan itu turut memberi pendedahan mengenai pengendalian ular, termasuk spesies berbisa, bagi memastikan anggota mempunyai kemahiran yang diperlukan ketika berdepan situasi berkaitan hidupan liar di lapangan.

PESERTA menerima taklimat daripada jurulatih PERHILITAN mengenai kaedah pengendalian ular sepanjang Latihan Pengendalian Ular 2026 di Pusat Hidupan Liar Matang. Foto SFC

Upacara penutupan latihan dihadiri Timbalan Pengurus Besar (Konservasi) SFC, Madhan Kiflie, bersama Ketua Seksyen SWAT, Chai Min Sing dan Ketua Seksyen Pengurusan Buaya, Dr Mohd Izwan.

SFC turut merakamkan penghargaan kepada PERHILITAN atas kerjasama serta perkongsian ilmu dan kepakaran sepanjang latihan berkenaan.

Kerjasama itu diharap dapat terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan anggota serta memastikan pengurusan hidupan liar dilaksanakan dengan lebih selamat, cekap dan berkesan.

Oleh Afiq Sallehi