SELANGAU:Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dilaksanakan dengan kos RM14 juta bakal memberikan manfaat kepada penduduk di 12 buah rumah panjang di kawasan Sekuau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, dana tersebut merupakan sebahagian daripada daripada tiga projek BELB di Batang Oya, Sekuau, Selangau dan Balingian berjumlah keseluruhan RM34 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Projek BELB tersebut akan memberi manfaat kepada 60 buah rumah panjang dan lebih kurang 1,018 pintu penduduk secara keseluruhannya.
“Program pada hari ini adalah untuk merasmikan projek BELB bagi kawasan Sekuau. Projek ini akan memberikan manfaat kepada penduduk di lebih kurang 12 buah rumah panjang.
“Projek ini dijangka siap pada bulan Mac tahun 2021 dan akan memberikan manfaat kepada penduduk di lebih kurang 12 buah rumah panjang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek BELB di Rumah Udi, Sungai Segurin, Nanga Pakoh, Sekuau.
Sementara itu, ketika singgah di Rumah Ujang @ Rumah Bunya, Sungai Sepasir, Pakoh, Gira telah meluluskan projek membina jalan masuk ke rumah panjang tersebut (Rumah Ujang @ Rumah Bunya) menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021.
“Saya mencadangkan kepada Kementerian Utiliti supaya rumah panjang ini diberikan projek BELB,” ujarnya.
Manakala, semasa Program Santai BBQ di Rumah Tan, Skim Sekuau, Gira telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk membina tempat letak kereta dan RM5,000 kepada Biro Wanita rumah panjang tersebut.
Gira turut melawat tanah runtuh di Rumah Ejan @ Rumah Juli di Skim Sekuau.
Dalam lawatan itu, beliau mencadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan siasatan tapak dan mengmukakan cadangan teknikal untuk mengelakan tanah terus runtuh.
“Buat sementara ini, saya arahkan penduduk rumah panjang supaya memasang canvas untuk mengelakkan tanah tersebut terus runtuh,” ujarnya.
Gira juga menghadiri Majlis Kesyukuran Ahli Dewan Negara, Senator Rita Serimah Patrick Insol di Rumah Bansa, Jalan Dijih.
Pada majlis tersebut, Gira menyalurkan RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Bansa. Selain itu, Anita Anthony Ijan mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) telah menyalurkan bantuan kepada beberapa orang warga emas.
Oleh Akun Giman