
KABONG: Projek pembinaan baharu Anjung Selera dan Inap Desa Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan sektor pelancongan serta ekonomi komuniti setempat apabila siap kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan perlu dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat dalam tempoh yang dirancang.
Menurut beliau, kejayaan sesuatu projek pembangunan bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang rapi, malah memerlukan komitmen serta kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat.
“Setiap agensi yang diberi tanggungjawab perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna dan mencapai objektif pembangunan yang disasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi libat urus projek bina baharu Anjung Selera dan Inap Desa PNK Kabong yang berlangsung di Dewan PNK Kabong, hari ini.
Chee Kadir berkata, pembangunan kemudahan tersebut dilihat mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat khususnya pengusaha kecil, nelayan serta komuniti yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan.
Beliau menjelaskan bahawa kewujudan Anjung Selera bakal menyediakan ruang yang lebih tersusun kepada peniaga tempatan untuk memasarkan produk makanan dan hasil laut, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan Kabong sebagai destinasi pelancongan.
Pada masa yang sama, pembinaan Inap Desa PNK Kabong dijangka mampu memenuhi keperluan pengunjung yang ingin merasai pengalaman pelancongan berasaskan komuniti dan budaya tempatan.
“Sesi libat urus tersebut turut menjadi platform penting bagi membincangkan perkembangan semasa pelaksanaan projek serta mengenal pasti sebarang isu yang memerlukan tindakan segera daripada pihak berkaitan,” jelasnya.
Selain projek bina baharu Anjung Selera dan Inap Desa PNK Kabong, mesyuarat turut meneliti beberapa projek pembangunan lain yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Saratok (MDS) serta projek di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan Kabong.
Perbincangan berlangsung dalam suasana konstruktif dengan pelbagai pandangan dan cadangan dikemukakan oleh peserta bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat.
Turut hadir dalam sesi libat urus tersebut ialah wakil daripada BDDA, Majlis Daerah Saratok, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong serta pihak PNK Kabong yang bersama-sama menzahirkan komitmen untuk menjayakan agenda pembangunan di kawasan Kabong.
Oleh Adi Safarman