SERIAN: Komitmen memperkukuh kecemerlangan pendidikan di Sarawak terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Tagap Mancang Lonjakan SPM 2026 yang menghimpunkan wakil rakyat, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Serian, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak bagi meningkatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Program yang berlangsung di DBNA Pusat Komuniti Serian itu menghimpunkan 108 pengetua dan guru besar bersama 108 Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari seluruh daerah Serian.
Kehadiran pemimpin masyarakat, agensi kerajaan serta warga pendidikan mencerminkan kesepakatan pelbagai pihak dalam menjayakan agenda Menjulang Pendidikan Sarawak melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Sarawak Les Met, Pengerusi DBNA Cawangan Serian Chali Unggang, Temenggong Bidayuh Bahagian Serian Temenggong Henry Bujang Sendan serta wakil Residen Bahagian Serian Mohamad Rashdan Hazemi.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Bunsie Tunton yang menegaskan kejayaan murid bukan hanya bergantung kepada sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti, pemimpin setempat dan semua pemegang taruh dalam mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif serta menyokong pembelajaran murid secara berterusan.
Dalam slot perkongsian, Les Met berkata usaha melahirkan murid cemerlang perlu bermula sejak di bangku sekolah rendah melalui pendekatan pencegahan awal.
Beliau menggariskan konsep “Mitigasi Lebih Baik Daripada Intervensi” sebagai strategi penting bagi memastikan isu pembelajaran dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum menjadi cabaran yang lebih besar.
Beliau turut menyentuh kepentingan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) sebagai peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus meningkatkan motivasi mereka mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.
Sementara itu, Chali Unggang berkata komuniti mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkasakan sekolah dan menyeru masyarakat terus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam membimbing generasi muda serta membendung gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Menurut beliau, pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif seluruh komuniti.
Simon Sinang pula menegaskan pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah taraf hidup sesebuah keluarga dan membentuk masyarakat yang berilmu, progresif serta berdaya saing.
Beliau turut menyatakan sokongan berterusan terhadap pelbagai inisiatif pendidikan yang mampu melonjakkan pencapaian murid di Daerah Serian.
Program itu turut diserikan dengan sesi soal jawab yang membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan fasiliti pendidikan di Daerah Serian, selain mengumpulkan cadangan dan pandangan daripada ibu bapa serta komuniti bagi memperkukuh kualiti pembelajaran murid.
Program Tagap Mancang Lonjakan SPM 2026 dilihat menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemimpin setempat ke arah meningkatkan prestasi SPM 2026, selaras dengan aspirasi Menjulang Pendidikan Sarawak.





