
KRIAN: Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) mampu mengupayakan dan memperkasa komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi di peringkat kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, Rumah Spancer, Engkabang Rias Jaya merupakan rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian yang berjaya mendapat peruntukan Program SejaTi MADANI.
“Program ini merupakan inisiatif baharu Kerajaan Persekutuan yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti. Ia dapat meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
“Justeru saya mahu pemimpin peringkat kampung atau rumah panjang khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu memanfaatkan SejaTi MADANI,” katanya semasa hadir pada majlis Merarau Biro Wanita Rumah Spancer Engkabang, Rias Jaya dan perasmian ternakan ikan keli dibawah SejaTi MADANI, semalam.
Friday turut menyeru agar JKKK memanfaatkan setiap peruntukan yang disalurkan kepada organisasi terbabit dengan sebaik-baiknya bagi bergerak maju dan mencapai pembangunan dalam semua aspek.
“Saya berharap peruntukan yang telah diagihkan kepada semua JKKK menerusi geran SejaTi MADANI itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya agar ia dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan penduduk kawasan bidang kuasa JKKK masing-masing,” katanya.
Friday turut menggesa setiap JKKK yang belum memohon SejaTi MADANI perlulah mengambil peluang yang disediakan melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menambah hasil dan pendapatan penduduk kampung.
Oleh Adi Safarman