BINTULU: Program pemeriksaan mata percuma dan pengagihan cermin mata untuk pelajar daripada keluarga B40 akan dijadikan acara tahunan oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, setiap sekolah yang terpilih akan menyenaraikan nama 60 pelajar yang layak menerima cermin mata setelah pemeriksaan mata dilakukan.
Katanya, program ini merupakan langkah penting untuk memastikan perhatian yang sewajarnya diberikan kepada semua pelajar, terutamanya golongan B40.
“Saya percaya aktiviti ini adalah inisiatif yang baik, jadi ia akan menjadi acara tahunan bagi pusat khidmat saya.
“Kami akan berusaha untuk melibatkan setiap sekolah, khususnya pelajar dari kumpulan B40,” katanya selepas meninjau sesi pemeriksaan mata di Sekolah Kebangsaan (SK) Asyakirin hari ini.
Menurutnya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat Daerah Bintulu dan Woops Signature Optical Center, yang menyasarkan beberapa sekolah terpilih di kawasan DUN Tanjong Batu untuk membantu murid yang mengalami masalah penglihatan.
Beliau berkata pemeriksaan mata percuma akan dijalankan oleh pihak optik yang terlibat untuk memastikan murid yang layak menerima cermin mata setelah menjalani pemeriksaan menyeluruh.
“Kami bekerjasama dengan kedai cermin mata untuk melaksanakan pemeriksaan mata bagi semua pelajar yang dipilih oleh pihak sekolah.
“Setiap sekolah akan menghantar nama 60 pelajar yang layak untuk menerima cermin mata.
“Kami telah memilih tiga sekolah untuk program ini, dan hari ini kami memulakan di SK Asyakirin, diikuti oleh SK Chung Hua dan sekolah-sekolah lain,” jelasnya.
Beliau berharap, program seumpama itu dapat memberi manfaat kepada pelajar B40 dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata dalam kalangan mereka.