

SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menegaskan kepentingan pembangunan kemahiran dalam memperkasa ekonomi komuniti luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pembangunan Kemahiran dan Penjanaan Pendapatan: Demonstrasi Pembuatan Sabun yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, Sri Aman, kelmarin.
Menurutnya, program tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran serta peluang ekonomi masyarakat setempat.

Program berkenaan merupakan hasil kolaborasi strategik antara ICL Volunteers, agensi-agensi kerajaan serta Saberkas Cawangan Lingga dalam usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan mampan.
Sambutan terhadap program ini amat menggalakkan apabila jumlah kehadiran melebihi sasaran asal seramai 30 peserta, sekali gus membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap inisiatif berbentuk kemahiran.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan sesi ceramah kesedaran alam sekitar yang menekankan kepentingan pengurusan sisa secara lestari.
Selain itu, peserta turut mengikuti demonstrasi pembuatan sabun serta latihan praktikal menggunakan minyak masak terpakai sebagai bahan utama, sekali gus memberi nilai tambah kepada bahan buangan.
Dayang Noorazah dalam ucapannya menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diperluaskan dengan penyertaan lebih terbuka kepada masyarakat setempat.
Beliau turut menekankan keperluan memperbanyakkan bengkel kemahiran sebagai platform untuk memperkasa golongan wanita agar lebih berdaya saing dalam bidang keusahawanan.
Tambah beliau, usaha berterusan ini diyakini mampu melahirkan lebih ramai usahawan kecil dalam kalangan komuniti, seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Program tersebut dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman iaitu Profesor Madya Dr Mahani Mohammad Abdu Shakur dan Profesor Madya Dr Rosita Hamdan yang berkongsi kepakaran mereka sepanjang sesi berlangsung.
Dayang Noorazah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para fasilitator serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan dengan jayanya.
Oleh Adi Safarman