SIBU: Program Latihan Khas Keusahawanan PMKS (MSME Mobile Clinic) kini berada di lokasi keduanya, Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu, hari ini.
Pengarah Urusan & CEO Empire Consortium Sdn Bhd (EMCO), Sharifah Azizah Sayeed Aman Ghazali berkata, program ini adalah untuk membantu usahawan dan bakal usahawan yang berminat hendak menceburi bidang perniagaan.
“Program ini memberikan pengetahuan bagaimana hendak memulakan perniagaan, bagaimana untuk pendaftaran perniagaan, memberikan pengetahuan tentang e-invoicing, literasi AI dalam komunikasi perniagaan, dan penerapan nilai Prinsip Tadbir Urus (ESG).
“Format kita secara klinik, biasanya penganjuran program seumpama ini, penceramah akan bercakap di depan para peserta.
“Terdapat peserta kadangkala malu hendak bertanya, jadi kita adakan klinik ini mereka boleh bersemuka satu sama satu. Maksimum dalam satu kumpulan lima orang dengan seorang penceramah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, program tersebut telah dimulakan di Kuching selama dua hari iaitu 12 dan 13 November.
“Pada hari ini (15 Nov) kita berada di Sibu dan selepas ini kita akan terus ke Miri pada 18 dan 19 Nov,” katanya.
Sharifah Azizah yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan & Profesyen Malaysia (PENIAGAWATI) memberitahu, mereka berharap untuk meluaskan lagi penganjuran program tersebut ke Mukah, Limbang dan Lawas pada masa hadapan.
Program ini dianjurkan oleh Empire Consortium Sdn Bhd (EMCO) dengan sokongan Affin Bank dan rakan strategik seperti Pernas, Peniagawati serta Perbadanan Pembangunan Usahawan Sarawak (SDS).
Pendaftaran adalah percuma dan terbuka kepada semua usahawan yang berminat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +6019 665 5611 atau emel kepada event@empiregroup.com.my.
Sementara itu, salah seorang peserta, Fatin Iman Yusof berkata, program ini amat membantu dalam memberikan pengetahuan tentang perniagaan.
“Saya mengambil peluang untuk mempelajari hal perniagaan termasuk bagaimana hendak membuka perniagaan, sebab kami adalah dari kosong ilmu, kami sertai untuk tambah ilmu dan dapatkan ilmu yang kami perlukan sebab banyak juga yang saya tidak tahu,” katanya.
Fatin yang pertama kali menyertai program tersebut turut menyatakan impiannya untuk menceburi bidang perniagaan pada masa hadapan.
“Saya kini sedang menuntut di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk ijazah sarjana pentadbiran perniagaan (MBA). Insya-Allah pada masa hadapan saya akan menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Ambrose Kilang Jantan pula berkata, program ini banyak membantu terutamanya mereka yang baru hendak memulakan perniagaan.
“Program ini memberikan pengetahuan seperti macam mana hendak mencari modal, memulakan perniagaan.
“Ini terutamanya apabila kita mendengar francais, kita ingat ia nama besar sahaja, tetapi francais itu ada juga perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN