KUALA LUMPUR: Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem perbankan dianggarkan sebanyak RM29.17 bilion dalam pasaran konvensional dan RM31.83 bilion dalam pasaran wang Islam.
Hari ini, BNM akan menjalankan dua tender repo berbalik bernilai RM9.5 bilion untuk tujuh hari dan RM500 juta untuk 32 hari.
Bank pusat akan turut menjalankan tiga tender repo berbalik Islam (perjanjian jual dan beli balik), masing-masing bernilai RM700 juta untuk tujuh hari, RM1 bilion untuk 32 hari dan RM700 juta untuk 91 hari.
BNM turut mengumumkan ketersediaan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual dan beli balik serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar dengan tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada 4.00 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM39.2 bilion dan tender semalaman Murabahah sehingga RM34.2 bilion.- Bernama





