SIBU: Program Keusahawanan Wanita Bangkit@ KPWKM di Dewan Lakis, Masjid An-Nur, petang tadi, adalah julung kali diadakan di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program ini merupakan insentif untuk wanita mula menjana pendapatan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil tidak termasuk di bawah skim di Kementerian Keusahawanan, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan ‘Amanah Ikhtiar Malaysia’ (AIM).
“Sejak penubuhan program ini tahun lepas, ini merupakan kali pertama program keusahawanan diadakan di Sarawak ini iaitu di Sibu,” katanya kepada pemberita pada program tersebut.
Ahli Parlimen Santubong itu turut memberitahu, sehingga Disember 2022, seramai 14,770 wanita sudah mendapat manfaat menerusi program ini, kebanyakannya mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Saya berharap lebih ramai wanita akan menyertai program seumpama itu,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy turut menggesa golongan wanita supaya merebut peluang menjalani pemeriksaan kesihatan kanser serviks
“Pemeriksaan ini penting untuk kesihatan semua orang. Oleh itu, saya menyeru agar wanita menjalani saringan bagi memastikan kesihatan mereka terjaga,” katanya.
Seramai 200 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dan DUN Daro menyertai Program Keusahawanan Wanita Bangkit@ KPWKM yang berlangsung selama dua hari.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab dan
Ketua Setiausaha Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusof.
Oleh AKUN GIMAN