
BAU: Satu program kesedaran masyarakat yang memberi tumpuan kepada penyalahgunaan dadah dan isu buli telah diadakan di Paku Rock Maze Garden, Paku, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata program yang berlangsung dari 1.30 petang hingga 4.00 petang itu disertai 45 peserta daripada komuniti setempat.
Menurutnya, ceramah disampaikan oleh Insp Mohd Said Ambotang dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta Insp Mohammad Faris Abdul Ghani dari Bahagian Siasatan Jenayah.
“Program ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, termasuk langkah pencegahan untuk menanganinya.
“Ia turut memberi penekanan terhadap isu buli dan ugutan jenayah, khususnya di media sosial, serta kefahaman berkaitan peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, peserta juga diberikan penerangan mengenai saluran dan kaedah yang betul untuk melaporkan kes buli.
Menurutnya, program berkenaan berjalan lancar dan mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat.
Oleh Connie Chieng