SIBU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Julau telah menganjurkan Program Kemahiran Kemasyarakatan bertempat di Rumah Liban, Nanga Sebuntang Dong Entabai Julau, baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 September itu bertujuan menggalakkan warga tempatan dengan melaksanakan aktiviti mesra alam melalui cara mengitar semula bahan buangan.
“Program ini juga diselitkan dengan aktiviti kesedaran, cara- cara mencegah dan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api sekali gus menyemai sikap bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar,” kata Pengelola Program, Evelyn Menoa.
Menurut Evelyn Menoa, antara aktiviti lain yang turut diadakan adalah ceramah cintai alam sekitar, cara-cara menggunakan bahan-bahan kitar semula dan kecerian setempat.
Jelasnya lagi, program ini amat berguna kepada penduduk rumah panjang untuk menjaga alam sekitar selain memberi pendedahan kepada semua penduduk di Daerah Julau mengenai kesedaran bahawa pentingnya menjaga persekitaran masing-masing lebih-lebih lagi persekitaran rumah panjang.
Sementara itu, program tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai KEMAS Daerah Julau Edwin Joanese Girie.
Oleh Nurzilla Mohamad