
BAU: Musim menuai padi di Kampung Peninjau Baru tidak menjadi penghalang bagi penduduk kampung untuk bersama-sama menyertai aktiviti gotong-royong sempena Program JIWA@Komuniti MADANI, semalam.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Bau bersama Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru itu bertujuan memperindah persekitaran kampung serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru, Desmond Andrin Aloi berkata program tersebut mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat dan mencerminkan semangat toleransi, sukarelawan serta perpaduan yang menjadi nilai penting dalam komuniti.



“Semangat bekerjasama dan muhibah dalam kalangan penduduk harus terus dipelihara, terutama dalam mendidik generasi muda untuk menghargai nilai perpaduan dan tanggungjawab terhadap komuniti.
“Program seperti ini memberi impak positif dalam memupuk semangat hidup bermasyarakat, mengamalkan gaya hidup sihat, serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Program berbentuk kesukarelawan dan kesedaran masyarakat itu merupakan inisiatif JaPen Bau untuk mendekati komuniti setempat dengan cara santai bagi mengeratkan hubungan kejiranan dan kekeluargaan.
Pegawai JaPen Daerah Bau, Sumardi Sugiman turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program tersebut dan berterima kasih kepada penduduk atas sambutan yang menggalakkan.
“Program ini menjadi platform JaPen Bau dalam menyampaikan maklumat berkaitan isu semasa, dasar kerajaan dan inisiatif baharu secara bersemuka bagi memastikan penyampaian lebih berkesan kepada masyarakat akar umbi,” ujarnya.
Selain aktiviti gotong-royong, program itu turut merangkumi ceramah Penghayatan Rukun Negara, sesi dialog, hebahan awam, senamrobik serta ceramah AIFA Chatbot daripada Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru.