KUCHING: Program ‘Back To School -CATS Gunting Rambut’ yang berlangsung di pusat beli belah Plaza Merdeka hari ini mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat sekitar Kuching.
Menurut Pengurus Program CATS, Mohamad Fadzli Daud, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) CATS itu diawalkan pada 11.45 pagi berikutan ramai pelanggan yang telah menunggu sebelum program bermula.
“Program ini sepatutnya bermula seawal 12.00 tengah hari namun, seawal 11.30 pagi, ramai orang yang telah menunggu dengan anak masing-masing.
“Setelah setengah jam berlangsung, kita menerima sambutan yang memberangsangkan dengan lebih 100 orang anak-anak telah mendaftar untuk menggunting rambut,” katanya.
Ketika diminta mengulas berkenaan program, beliau berkata ia dilaksanakan bagi membantu ibu bapa serba sedikit dalam persediaan anak-anak mereka untuk pembukaan sekolah pada minggu hadapan.
Tambahnya, program itu terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira umur termasuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
“Program Back To School – CATS Gunting Rambut ini sebenarnya telah dirancang tahun lepas dan dilaksanakan pada tahun ini sebagai program CSR dengan kerjasama ‘AJAKCUT Barbershop’.
“Program ini adalah percuma untuk semua pelajar tanpa mengira umur manakala untuk pelajar IPT, mereka perlu menunjukkan kad pelajar,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, program yang julung kalinya diadakan itu berjaya memberi manfaat kepada 240 orang pelajar sekolah setakat 6.00 petang.
Oleh Rynna Sha’erra