
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, menolak penjelasan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, yang mempertahankan rekod pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan alasan kononnya semakan projek pembangunan dibuat sebagai tidak berasas.
Lo berkata, dakwaan Chong bahawa PH hanya menyemak projek mega yang didakwa mempunyai kos terlalu tinggi adalah tidak tepat kerana beberapa projek komuniti berskala kecil di kawasan Batu Kitang turut dipotong peruntukan.
Menurutnya, projek yang terjejas melibatkan pembinaan Dewan Komuniti Kampung Haji Baki bernilai RM1.5 juta, Pusat Penjaja Haji Baki (RM750,000) serta kerja penambakan tanah di Tanah Perkuburan Haji Baki (RM200,000).
“Ini bukan projek mega, sebaliknya kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Lo turut mendakwa peruntukan bagi kerja penyelenggaraan rutin turut terjejas, termasuk pemotongan rumput di sepanjang jalan Persekutuan dari Kuching ke Lawas.
Katanya, keadaan itu menyebabkan rumput di bahu jalan tidak diselenggara dengan baik sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau turut menyangkal kenyataan Chong berhubung Jambatan Batang Lupar dengan menjelaskan bahawa jumlah RM1 bilion yang diumumkan merupakan peruntukan bajet projek, bukannya nilai kontrak muktamad.
Menurutnya, nilai kontrak sebenar hanya ditentukan selepas proses tender selesai, manakala baki peruntukan akan kekal dalam simpanan kerajaan sekiranya harga tender yang berjaya lebih rendah daripada jumlah yang diperuntukkan.
Lo turut menyifatkan perbandingan Jambatan Batang Lupar dengan projek Laluan Rel Transit Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai mengelirukan kerana projek-projek berkenaan diteruskan semula selepas rundingan semula dengan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, katanya, projek Jambatan Batang Lupar, Batang Rambungan dan Batang Igan kekal tertangguh di bawah pentadbiran PH sehingga kerajaan Sarawak yang dipimpin Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil alih pembiayaan dan pelaksanaannya menggunakan dana negeri.
Lo berkata, rakyat Sarawak lebih mementingkan hasil yang dicapai berbanding istilah politik.
“Sama ada PH menyebutnya sebagai semakan, rundingan semula atau penangguhan projek, hasilnya tetap sama. Projek tertangguh, penyelenggaraan merosot dan masyarakat kehilangan kemudahan infrastruktur yang amat diperlukan,” katanya.
Oleh Connie Chieng




