Empat rumah panjang kawasan Sebetan terima manfaat projek RTP dan peruntukan MRP 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ROBAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan penyaluran geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi program tinjauan mesra ke empat rumah panjang di kawasan Sebetan yang melibatkan perasmian beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta penyampaian cek MRP 2026 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Beliau memulakan lawatan di Rumah Thomas Dana, Ulu Lun dengan merasmikan projek pembinaan awning dan Rumah Biro Wanita sebelum meneruskan program ke Rumah Richard Maringai di Sungai Muding bagi merasmikan projek pembinaan sengkuap.

FRIDAY Belik melakukan tinjauan mesra ke empat rumah panjang di kawasan Sebetan yang melibatkan perasmian beberapa projek di bawah RTP serta penyampaian cek MRP kepada JKKK, kelmarin. Foto: ADUN Krian

Program diteruskan ke Rumah Anita di Balai Badak, Sungai Klampai sebelum mengakhiri lawatan di Rumah Dennis Ngelambai di Tinting Remat, Sungai Klampai.

Di Rumah Dennis Ngelambai, Friday merasmikan projek pembinaan dataran kejat serta melancarkan penubuhan Biro Wanita sebagai langkah memperkasa penglibatan golongan wanita dalam pembangunan komuniti setempat.

Selain itu, beliau turut menyerahkan cek MRP 2026 kepada tiga JKKK rumah panjang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan serta projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk untuk memperkukuh pembangunan komuniti serta meningkatkan kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Turut hadir pada program itu ialah Penghulu Isa Ging, tuai-tuai rumah dari kawasan Sebetan, Lempa Kabo dan Krian Tengah serta ahli-ahli majlis yang bersama-sama menyantuni penduduk sepanjang program berlangsung.

Oleh Adi Safarman