TEGAS perkukuh ekosistem syarikat pemula menerusi inovasi digital

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DAYANG Noraazah Awang Sohor bersama penerima anugerah selepas majlis penyampaian hadiah pada Kem Pra-Pemecutan TEGAS 2026 Demo Day di TEGAS Digital Village (TDV), Kuching, kelmarin. Foto ADUN Lingga.

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus memperkukuh ekosistem syarikat pemula di negeri ini menerusi penganjuran Kem Pra-Pemecutan TEGAS 2026 yang memberi tumpuan kepada inovasi digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Dayang Noraazah Awang Sohor berkata, program edisi kelapan itu menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai usahawan teknologi yang berdaya saing serta berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pembangunan syarikat pemula, malah memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian ilmu merentas wilayah.

“Hari ini merupakan detik penting dalam pembangunan ekosistem syarikat pemula di Sarawak. Kita berkumpul bagi meraikan berakhirnya program intensif selama enam hari yang dipenuhi pembelajaran, inovasi dan kerjasama merentas wilayah,” katanya.

Teks ucapan itu dibacakan oleh Dayang Noraazah bagi mewakili Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, pada majlis Kem Pra-Pemecutan TEGAS 2026 Demo Day di TEGAS Digital Village (TDV), di sini, kelmarin.

Menurut beliau, program yang diperkenalkan sejak 2018 itu terus menjadi tonggak pembangunan syarikat pemula menerusi TEGAS Digital Village dan Hab Inovasi Digital yang diwujudkan di seluruh Sarawak.

Katanya, edisi kali ini memperkenalkan kurikulum baharu berteraskan AI dengan kerjasama Growth Through Innovation bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan bakat dan keusahawanan digital.

Selain program pra-pemecutan, TEGAS turut menyediakan laluan pembangunan syarikat pemula menerusi Program SCALE Sarawak, Shell LiveWIRE Malaysia dan Program Landing Pad bagi membantu pengasas mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

“Satu kem latihan hanyalah titik permulaan. Untuk membina sebuah syarikat yang mampan serta bersedia menarik minat pelabur, anda perlu terus menimba ilmu dan memanfaatkan sepenuhnya keseluruhan ekosistem pembangunan yang disediakan oleh TEGAS,” katanya.

DAYANG Noraazah Awang Sohor bergambar bersama wakil salah sebuah kumpulan pemenang selepas pengumuman pemenang Kem Pra-Pemecutan TEGAS 2026 Demo Day di TEGAS Digital Village (TDV), Kuching, kelmarin. Foto ADUN Lingga

Beliau berkata, kerajaan Sarawak melalui TEGAS turut menyediakan kemudahan pembiayaan, rangkaian korporat antarabangsa serta bimbingan global secara percuma kepada usahawan terpilih bagi mempercepat pertumbuhan syarikat mereka.

Pada masa sama, beliau menggesa syarikat pemula memanfaatkan teknologi AI, pembangunan aplikasi tanpa kod (no-code) serta pengetahuan mengenai ekonomi unit bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan.

Pada majlis itu, lima kumpulan iaitu Trigona Bidara, Pangkas, GoAcara, Ritma Insights dan Borneo Origin diumumkan sebagai penerima anugerah selepas berjaya mengetengahkan penyelesaian inovatif sepanjang program berlangsung.

Setiap pemenang menerima pakej ganjaran komersial yang merangkumi hadiah wang tunai RM2,000, akses percuma ke ruang kerja bersama di TEGAS Digital Village, Kuching, serta TEGAS Digital Innovation Hubs di Bintulu dan Miri.

Selain itu, menerusi kerjasama strategik antara TEGAS dan Mindswitch, para pemenang turut menerima kelas induk harta intelek (IP) secara percuma bagi memperkukuh keupayaan mereka melindungi serta mengkomersialkan inovasi yang dibangunkan.

Oleh Adi Safarman