KABONG: Daerah Kabong mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan menjadi pengeluaran produk hasil laut untuk pasaran lebih terbuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, penghasilan produk hasil laut itu selari dengan usaha Kerajaan Sarawak yang mahu menjadi negeri pengeluar makanan atau ‘food basket’.
“Ia mesti dimulai dengan satu rangka aktiviti sosioekonomi supaya pertumbuhan industri desa di sini akan berkembang.
“Saya yakin Daerah Kabong mempunyai potensi yang tinggi, lebih-lebih lagi berkaitan dengan pengeluar produk hasil laut seperti ikan, ketam, udang, dan sebagainya yang begitu tinggi, sekaligus hasrat dan impian untuk menjadikan daerah ini sebagai ‘Bandar Pelancongan’ di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Anak Ketam di Yellow Cafe milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Fridah Osman, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Jenny Bangga, Pengurus PNK Kabong, Sahariya Tahot dan Pengerusi PNK Kabong, Darmizan Daud.
Chee Kadir berkata penggiat industri makanan Sarawak perlu meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan yang semakin tinggi.
Beliau berkata penternak, peladang, nelayan, pengeluar, pembekal dan sesiapa sahaja dalam industri makanan perlu merebut peluang yang ada supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada makanan import.
“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyasarkan pada tahun 2030, Sarawak menjadi negeri pengeluar bahan makanan utama dan pengeksport bahan berkenaan ke luar negara.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menghampakan rakyat dan selalu mencari cara untuk membantu dan membela nasib rakyat.
“Kabong kini semakin jadi tumpuan pengunjung kerana aktiviti pantai dan sebagainya. Maka permintaan untuk hasil nelayan juga meningkat dan ini sekaligus akan menjana ekonomi penduduk terutamanya golongan nelayan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman