KUCHING, 25 November: Kerajaan Sarawak sedang meneliti pendekatan baharu bagi menyediakan skim perumahan mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan sederhana (M40), susulan kesukaran kumpulan itu memiliki kediaman yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan mereka.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Samarahan, Kuching dan Jepak di Bintulu dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk pelaksanaan pendekatan berkenaan, namun formula serta kaedah pelaksanaannya masih dalam penelitian.
Beliau berkata, golongan M40 berdepan keadaan sukar apabila tidak memenuhi syarat kelayakan bagi skim perumahan B40, tetapi pada masa sama tidak mampu membeli rumah di pasaran yang harganya semakin tinggi.
Menurutnya, sebahagian golongan berkenaan, termasuk graduan yang memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, sukar memiliki rumah apabila harga kediaman boleh mencecah RM400,000 hingga RM600,000, malah ada yang berharga sehingga RM1 juta bergantung kepada reka bentuk.
“Masalah sekarang ialah M40. Mereka tidak boleh membeli rumah B40 kerana pendapatan mereka tinggi, tetapi rumah semi-D pula agak mahal. Mereka terperangkap di tengah-tengah.
“Setakat ini, idea saya adalah untuk mencuba pendekatan ini di Samarahan, Kuching dan Jepak di Bintulu. Kita masih mencari jalan untuk melaksanakannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) 2026 di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, sekiranya pendekatan itu dapat dirangka dengan baik, HDC berpotensi memainkan peranan penting dalam pembangunan kediaman berkenaan, termasuk melalui kerjasama dengan sektor swasta dan sokongan pembiayaan menerusi Mutiara Mortgage & Credit.
Beliau menegaskan bahawa cadangan tersebut masih dalam penelitian dan belum dimuktamadkan, namun kerajaan mahu memastikan golongan berpendapatan sederhana turut mempunyai peluang memiliki rumah sendiri.
Usaha itu melengkapi sasaran kerajaan negeri untuk menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030, dengan pelaksanaan melibatkan HDC, Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pemajuan Tanah (LCDA) serta agensi berkaitan.
Dalam memperluas peluang pemilikan rumah, kerajaan turut menyediakan kemudahan pembiayaan melalui Mutiara Mortgage & Credit yang menerima peruntukan RM40 juta pada 2027 bagi membantu pembeli rumah dalam kumpulan B40 dan M40.
Abang Johari berkata, kerajaan juga menyediakan bantuan deposit RM10,000 kepada isi rumah B40 dan M40 yang layak, khususnya bagi membantu pembeli rumah pertama.

Jelasnya, kemudahan pembiayaan menerusi Mutiara Mortgage mengenakan caj perkhidmatan satu peratus, manakala tempoh bayaran balik boleh disesuaikan mengikut kemampuan dan umur peminjam.
Pendekatan itu turut dilaksanakan dalam pembangunan perumahan di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK), apabila kerajaan menyediakan tanah serta menanggung kos infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bagi mengurangkan beban pembeli.
Antara kawasan yang mencerminkan pendekatan tersebut ialah Kampung Bedaun, Sungai Bedaun dan Darul Hana, apabila kerajaan menyediakan kemudahan asas sebelum pembangunan kediaman dilaksanakan.
Selain kemampuan memiliki rumah, Abang Johari turut menekankan kepentingan kualiti kediaman dengan menyasarkan rumah mampu milik yang dibangunkan pada masa depan mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik bagi memenuhi keperluan keluarga.
Katanya, reka bentuk rumah perlu mengambil kira keselesaan serta persekitaran kondusif supaya setiap ahli keluarga mempunyai ruang yang bersesuaian, termasuk anak lelaki dan perempuan.
Beliau turut mengalu-alukan usaha HDC menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam projek perumahan kerana kaedah itu berpotensi mengurangkan kos dan tempoh pembinaan melalui penghasilan komponen bangunan secara standard dan besar-besaran.
Menurutnya, penggunaan IBS membolehkan komponen seperti dinding dan struktur bangunan dihasilkan terlebih dahulu sebelum dipasang di tapak pembinaan, sekali gus meningkatkan kecekapan kerja serta membantu mengawal kos projek.
Abang Johari berkata, pembangunan perumahan perlu dilaksanakan seiring dengan penyediaan infrastruktur asas, khususnya bekalan air yang mencukupi untuk menampung pertambahan penduduk.
Katanya, peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan lebih besar bagi pembangunan infrastruktur asas yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada warga kerja dan Ahli Lembaga HDC atas usaha melaksanakan projek perumahan, sambil berharap agensi itu terus memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta bagi mencapai sasaran perumahan negeri.
Oleh Afiq Sallehi




