
SARAWAK sebenarnya tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN). Malah Sarawak tidak perlu mengikut ‘rentak tari’ PRN Johor, Negeri Sembilan dan selepas ini, di Melaka.
Negeri lain seperti Negeri Sembilan wujud pergolakan sendiri selain krisis Adat Perpatih, memaksa Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar lebih awal meskipun mandatnya masih panjang hingga 2028.
Kini perang sudah bermula antara Pakatan Harapan (PH) dan BN/UMNO menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan, berikutan masing-masing membawa haluan sendiri untuk bertanding secara solo meskipun di peringkat persekutuan, masih bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagi Sarawak, bila tiba masanya serta menghampiri tempoh mandat berakhir, maka bubarkanlah DUN, tanpa ada tekanan yang tidak perlu.
PRN ke-12 lalu diadakan melebihi tempoh tamat pemerintahan disebabkan pembubaran DUN ditangguhkan dalam keadaan unik.

Untuk rekod, penggal DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun 2021, namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu COVID-19 yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.
Darurat di seluruh negara diisytiharkan dari Januari hingga Ogos 2021 dan seterusnya di Sarawak dilanjutkan selama enam bulan lagi, namun ia ditarik kembali pada 3 November 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang memberi laluan kepada PRN Sarawak setelah mengadakan rundingan dengan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sarawak ketika itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Akhirnya, DUN Sarawak dibubar berkuat kuasa 3 November 2021, hari penamaan calon 6 Disember dan pengundian 18 Disember 2021.
PRN pertama Abang Johari
Ketika itu, adalah pilihan raya pertama bagi Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sejak menyandang jawatan Ketua Menteri ke-6 (kemudian dikenali sebagai Premier Sarawak).
Beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Januari 2017 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri untuk menggantikan Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.
Allahyarham Tok Nan menjadi Ketua Menteri mulai 28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017.
Untuk rekod, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memenangi 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN ke-12 yang lepas.
Namun, kini GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April 2024 iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), manakala seorang ADUN lagi keluar dan isytihar sebagai ADUN Bebas pada Ogos 2022.
Kini hanya ada dua wakil pembangkang dari DAP dalam DUN iaitu Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending) selain seorang ADUN Bebas, See Chee How (Batu Lintang), dikatakan ‘mesra GPS’.
PDP adalah antara empat parti komponen dalam GPS. Tiga lagi ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Tiga ADUN PSB yang menyertai PDP adalah bekas Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’kelalan).
Tumpuan kini adalah tarikh PRN ke-13 Sarawak.
Teka-teki
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027 tetapi ramalan popular ialah pada November/Disember ini.
Namun, Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian baru-baru ini meramalkan PRN mungkin diadakan dalam tempoh kurang 100 hari mulai sekarang. Maknanya, kalau menurut tekaan Timbalan Premier Sarawak itu, PRN diadakan sekitar Ogos/September tahun ini.
Ketika berucap pada majlis menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-67 SUPP di Kuching Rabu minggu lalu, Dr Sim menggesa ahli parti mempergiat persiapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita sedang berada dalam satu ‘pertempuran’, saya rasa kurang daripada 100 hari lagi dari sekarang. Jadi, kita benar-benar perlu mula bergerak segera,” tegasnya.
Tiga hari kemudian, wartawan pun bertanya hal ini kepada Abang Johari Sabtu lepas dan jawapan mudahnya ialah ‘mana saya tahu, tanya Dr Sim. Saya tidak tahu,’ katanya ringkas.
Andai betul sekalipun ramalan Dr Sim, sudah pasti Abang Johari tidak akan ‘mengiyakannya’. Sebaliknya, jawapan Premier Sarawak itu adalah tepat seperti dijangkakan, sekali gus terus menjadikan tarikh PRN13 teka-teki.
Sepatutnya wartawan boleh tanya soalan lebih ‘lembut’ terlebih dahulu. Contohnya, apakah Datuk Patinggi sudah ada ilham bila nak bubar DUN? Atau guna ayat ‘perangkap’ dahulu seperti ‘orang ramai sekarang gembira sebab Jambatan Batang Lupar 1 dah boleh guna, rakyat berterima kasih kepada Premier dan tidak sabar untuk mengundi GPS’.
Beliau mungkin jawab panjang lebar soalan pasal jambatan. Kemudian selit soalan ‘provoke’, contohnya ‘GPS boleh menang besar lagi kali ini, rasanya sesuai adakan PRN ketika ‘mood’ gembira rakyat menikmati pembangunan?
Berdasarkan pengalaman, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku PM4 dan PM7, sudah masak dengan soalan ‘perangkap’ wartawan kerana beliau cepat membaca minda wartawan ‘arah mana soalan’ sebegitu ditujukan, disasarkan. Silap hari bulan, dia akan tanya balik wartawan, contohnya ‘U cadanglah bila tarikh pilihan raya’, sekali gus menyebabkan wartawan mati akal.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak