PRN: Rundingan ‘hangat’ belakang tabir pemilihan calon GPS

Facebook
WhatsApp

SEJAK beberapa hari lalu, seorang demi seorang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipanggil mengadap Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabat atau rumahnya.

Premier Sarawak dikatakan memaklumkan sama ada individu yang dipanggil itu dikekalkan atau memberi laluan kepada muka baharu. Sebab itu, beberapa orang penyandang mengumumkan untuk berundur selepas pertemuan itu, mengambarkan kerelaan sendiri setelah perbincangan dari ‘hati ke hati’.

Dikatakan parameter diguna pakai ialah usia dan tempoh perkhidmatan serta peluang kepada pemimpin muda sebagai antara pertimbangan dalam pemilihan calon.

ABANG Johari pada sidang media pengumuman calon GPS di ibu pejabat PBB di Petra Jaya semalam. Gambar UKAS.

Nama calon diserahkan masing-masing oleh pemimpin tertinggi parti komponen GPS iaitu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Keputusan muktamad dibuat oleh Pengerusi GPS.

Namun, mana-mana penyandang yang ada masalah kesihatan, dikatakan awal-awal lagi sudah memaklumkan hasrat untuk berundur, sekurang-kurangnya untuk PBB. Tetapi ada pula dalam kalangan parti komponen lain masih mahu dikekalkan di sebalik masalah kesihatan tetapi akhirnya akur dengan keputusan mutakhir dan berundur.

“Bagi PBB, penyandang bukan digugurkan. Mereka sendiri meminta supaya tidak dicalonkan semula, dan ada antara mereka berbuat demikian atas faktor kesihatan,” kata satu sumber yang rapat dengan kepemimpinan tertinggi GPS.

Itu adalah ‘Politics consultation’ (berunding), antara asas pengukuhan GPS dan sudah semestinya jarang atau tiada istilah ‘kena drop’ (digugurkan) bagi menjaga aib serta keharmonian.

BERSEMANGAT…. Barisan 82 calon GPS bergambar beramai-ramai selepas majlis pengumuman calon di ibu pejabat PBB di Petra Jaya semalam.

Dengan berbuat demikian, akan mengurangkan ‘trigger’ untuk seseorang meninggalkan GPS dan bertanding sebagai calon Bebas atau menyertai parti pembangkang untuk mencabar calon GPS seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Malah ada yang pernah berjanji untuk undur diri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tetapi ‘berjaya’ merayu untuk dicalonkan semula walaupun usia sudah lanjut.

Merayu

“Nampak gaya ‘rayuannya’ berjaya…. tetapi tidak pasti sama ada akan dilantik semula ke dalam Kabinet nanti. Itu hak prerogatif Premier,” kata satu lagi sumber kepada penulis.

Bayangkan, sejak beberapa hari lalu atau beberapa minggu kebelakangan ini, tindakan melobi termasuk melalui pihak ketiga masih berlaku yang mungkin gara-gara khabar angin sudah bertiup akan digantikan dengan calon muka baharu. Ada yang menggunakan media terutama media sosial.

Mengapa ‘troll’ (atau trolling) di sosial media oleh netizen tentang tahap sumbangan pembangunan wakil rakyat kurang mempengaruhi keputusan pemimpin tertinggi parti terutama Premier Sarawak untuk ‘menggugur atau menamatkan’ tempoh seseorang wakil rakyat?

Ini adalah kerana tabiat budaya kerja Abang Johari yang memantau dengan ketat setiap pembangunan di setiap daerah dan bahagian di Sarawak melalui Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak sendiri.

Setiap agensi kerajaan terutama agensi pelaksana seperti JKR, DID, Sesco, JBALB, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) sama ada di peringkat daerah atau bahagian mesti melapor dengan kerap tentang pelaksanaan projek di semua kawasan di seluruh negeri.

Mesyuarat DDC yang dikoordinasi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri diadakan di pejabat setiap bahagian dari semasa ke semasa dan dipengerusikan oleh Premier Sarawak sendiri.

Semua pengarah setiap agensi mesti hadir untuk melapor dalam mesyuarat tentang status pelaksanaan dalam setiap  bahagian tersebut.

Turut hadir ialah semua wakil rakyat dalam bahagian terbabit.

Oleh itu, boleh dirumuskan bahawa Premier Sarawak amat sedia maklum tentang status semua projek sama ada dilaksanakan mengikut jadual, lambat atau isu teknikal sesuatu projek.

Antara agensi penting yang bertangungjawab memantau semua projek ini ialah SIMU Sarawak iaitu State Implementation Monitoring Unit atau Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak di bawah Jabatan Premier Sarawak dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Pemantauan

Begitulah kaedahnya dalam usaha memastikan setiap projek dilaksanakan dengan pemantauan rapi.

Berbalik kepada pemilihan calon, maka semalam berakhirlah episod teka-teki mengenai siapa bertanding di kawasan mana untuk 82 kerusi DUN ditandingi GPS.

CALON paling muda GPS, muka baharu, Nurfatin Syafawani Tahamat, 34 tahun untuk N71 Bekenu, seorang jurutera.

Difahamkan, semua calon itu sudah melalui tapisan termasuk jika ada kes muflis selain pemeriksaan kesihatan. Mereka membuat pemeriksaan kesihatan di Pusat Pakar Perubatan Normah – semuanya dikatakan sihat tetapi sebahagian ada penyakit biasa – darah tinggi.

Yang agak ‘bertegang leher’ selain isu calon, ialah tuntutan dan perebutan kerusi antara dua parti komponen yang akhirnya selesai beberapa jam sebelum pengumuman rasmi nama calon. Bab ini sudah menjadi rahsia terbuka.

Bagi sesetengah pihak, ada berlaku kejutan calon ditampilkan dan bagi yang lain, ia seperti dijangka. Namun, ada pula elemen di luar jangkaan – tiada dalam radar tetapi tampil dicalonkan yang pastinya sudah berada dalam ‘radar dalaman’ tanpa pengetahuan umum sejak kebelakangan ini. 

Kepada golongan veteran yang tidak dicalonkan semula, anggaplah itu sebagai ‘putaran’ roda. Tentu anda (wakil rakyat) masih ingat ketika mula-mula dinamakan sebagai calon dahulu, apabila yang dahulunya memberi laluan kepada anda sebagai orang muda. Sekarang giliran anda berbuat demikian.

Namun, langkah GPS menampilkan 11 muka baharu dan mengekalkan sebahagian ‘orang lama’  adalah gabungan yang ideal.

Purata umur calon GPS dianggarkan sekitar 60 tahun, dengan kumpulan 60 hingga 69, paling ramai.

Paling tua, muda

Secara kumulatif, anggarannya ialah 36 calon bawah 60 tahun, 10 calon bawah 50 tahun dan lima calon bawah 40 tahun.

Paling berusia Tan Sri William Mawan Ikon, yang genap 77 tahun 1 Disember ini, sebagai calon di DUN Pakan, manakala calon paling muda ialah muka baharu, Nurfatin Syafawani Tahamat, 34 tahun untuk N71 Bekenu, seorang jurutera.

Agak mustahil untuk mencalonkan semua anak muda, muka baharu meskipun wujud tuntutan di kawasan tertentu supaya ‘ubah’. Ini kerana iklim politik kepartian secara keseluruhannya memerlukan keseimbangan.

Sudah tentu, Premier Sarawak memikirkan secara mendalam sebelum memuktamadkan pemilihan calon, yang dianggap ‘winnable’ (boleh menang) walaupun seseorang sudah berusia.

Sebagai mengakhiri coretan ini, mari kita renung sejenak kata-kata berikut:

“Jangan kerana menghormati orang lama, kita menutup peluang orang muda. Jangan kerana memberi ruang kepada orang muda, kita melupakan jasa orang lama. Kedua-duanya ada peranan, kedua-duanya ada sumbangan.”

“Orang lama dihormati, orang muda diberi peluang. Pengalaman menjadi panduan, tenaga muda menjadi harapan.”

“Jangan putuskan jambatan antara generasi, kerana masa depan yang gemilang dibina dengan kebijaksanaan semalam dan keberanian hari ini.”

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Berundurnya PKR di Sarawak

KEPUTUSAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak pada 24 November 2026 untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13