HULU SELANGOR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan diketahui seawal 9.00 malam ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.
Katanya, ini kerana beliau yakin proses penjumlahan undi akan berjalan lancar, sekali gus membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat selain menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan sekitar 60 peratus.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan KKB di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, Azmi berkata setakat tengah hari, SPR berpuas hati dengan kelancaran dan peratusan jumlah keluar mengundi.
“Kita puas hati, setakat ini semua berjalan lancar, aman dan sangat bagus. Saya tak ada dengar apa-apa masalah, akses ke saluran mengundi pun bagus untuk warga emas dan OKU (Orang Kurang Upaya),” katanya.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK itu dibuka serentak pada 8.00 pagi tadi dan akan ditutup 6.00 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada 2.00 petang ini. – Bernama