PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan terus meletakkan aspek kebajikan warga pendidik serta pemerkasaan sistem pendidikan sebagai keutamaan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sejak mengambil alih pentadbiran negara, tumpuan utama kerajaan adalah memperkukuh sektor pendidikan termasuk menambah baik skim perkhidmatan, laluan kerjaya dan kebajikan guru.
“Dalam setiap mesyuarat, perbincangan skim dan tumpuan, kita tidak tinggalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan profesion perguruan dan semua pihak.
“Sekarang kita tingkatkan peluang sama ada kenaikan gaji, kemudian peluang kerjaya, biar guru-guru itu tidak merasa perlu ke jabatan sebelum diberi pengiktirafan,” kata beliau ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga KPM di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha KPM Datuk Wan Hashim Wan Rahim.
Anwar berkata beliau yakin kemajuan negara dalam bidang ekonomi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hanya dapat dicapai menerusi kesungguhan warga pendidik yang membentuk generasi masa depan.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan sektor pendidikan terus mendapat keutamaan dalam peruntukan dan belanjawan negara ini.
“Cuba saudara lihat dalam senarai UNESCO dari segi peruntukan. Malaysia satu-satu negara yang beri peruntukan pendidikan paling tinggi dalam belanjawan negara,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata aspek pembaharuan termasuk pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan AI memerlukan komitmen besar daripada guru.
Anwar turut mengingatkan masyarakat supaya menghargai jasa warga pendidik yang kekal komited membimbing golongan muda dalam suasana perubahan besar dunia.
“Tuntutan pada KPM dan guru-guru itu terlalu tinggi. Kalau ada seorang anak jatuh, itu menjadi isu besar tetapi apabila sejuta anak diselamatkan, ia bukan jadi berita. Jadi kena ingat ini,” kata beliau. – Bernama





