PUTRAJAYA: Sistem pengurusan prauniversiti Tingkatan Enam dikekalkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa aspek melibatkan pengurusan pelajar Tingkatan Enam selain skim berkaitan perkhidmatan guru.
“Buat masa sekarang, saya putuskan supaya prauniversiti Tingkatan Enam masih di bawah KPM,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga KPM di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi bermula tahun depan.
Sementara itu, Anwar berkata Bantuan Am Persekolahan (BAmP) di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam tahun ini, melibatkan peruntukan berjumlah RM4.96 juta.
Beliau berkata perluasan BAmP itu memberi manfaat kepada lebih 31,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar.
“Saya sudah bincang dengan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan). Jadi, untuk pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima itu diteruskan bantuan kerajaan (di bawah BAmP).
“Untuk Tingkatan Enam yang memanfaatkan lebih 30,000 pelajar sekarang ini, kita akan berikan bantuan (BAmP) yang sama,” katanya.
Bantuan KWAPM terdiri daripada dua jenis iaitu BAmP sebanyak RM150 untuk sekolah menengah dan RM100 bagi sekolah rendah manakala Bantuan Kecemasan (BK) berjumlah RM300.
Tabung KWAPM ditubuhkan bertujuan memberi bantuan kepada pelajar miskin supaya tidak tercicir daripada meneruskan persekolahan, selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib. – Bernama





