JULAU: Majlis Jalinan Mesra Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Sengaih 2026 menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan, mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti serta memperkasakan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sahaja bertujuan memupuk perpaduan, malah turut mempromosikan keindahan adat serta nilai tradisi dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat.
“Majlis Jalinan Mesra SK Nanga Sengaih 2026 merupakan platform untuk menggalakkan dan memupuk semangat perpaduan, selain mempromosikan keindahan adat serta nilai tradisi dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat.
“Bagi saya, program ini juga bertujuan mewujudkan ruang untuk warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berbincang bersama mengenai perkara berkaitan pembangunan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis tersebut baru-baru ini.
Menurut Larry, majlis berkenaan turut berperanan memperkukuh sokongan masyarakat terhadap pelbagai aktiviti sekolah yang menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan murid.
“Pada masa sama, majlis ini turut menjadi platform untuk mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti PIBG SK Nanga Sengaih.
“Pada majlis ini, saya telah menyalurkan dana kepada PIBG SK Nanga Sengaih, Ahli Jawatankuasa (AJK) Tanah Perkuburan Sungai Kup Sengaih, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Nyambang Sengaih, JKKK Rh Limai Rantau Nibong, JKKK Rh Ngabong Nanga Selabi serta Persatuan Gereja Zon Sungai Entabai,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dana yang disalurkan pada majlis tersebut ialah RM83,000 bagi membantu penerima melaksanakan tanggungjawab serta aktiviti masing-masing.
“Jumlah keseluruhan dana yang saya peruntukkan ketika ini adalah sebanyak RM83,000 dan saya berharap bantuan ini dapat membantu mereka menjalankan tugas,” katanya.
Oleh Earl Anek





