CHUKAI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman boleh dikatakan agak unik apabila pengundian awal yang ditetapkan hari ini, hanya melibatkan tiga pengundi.
Ketiga-tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera itu akan menunaikan hak mereka di pusat mengundi Balai Polis Kijal, di sini, bermula 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari nanti.
Sebelum ini, selain tiga pengundi itu, SPR mengumumkan pengundian awal bagi PRK itu akan membabitkan seramai 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera.
Bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua mereka telah diarahkan mengundi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.
Pengarah Meteorologi Terengganu Rosli Zakaria ketika dihubungi Bernama berkata cuaca di kawasan Parlimen Kemaman hari ini diramalkan hujan berterusan bermula pagi hingga petang nanti.
PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Disember ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Ia yang melibatkan 141,790 pengundi layak termasuk pengundi pos dan awal, perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – Bernama